Tuesday, October 14, 2008

Pilih Pemimpin Adalah Amanah-Kita Perlu Buat Perhitungan Bijak



Pada bulan Mac 2009 nanti para perwakilan UMNO akan memilih calon-calon untuk menduduki kerusi-kerusi Presiden, Timbalan Presiden dan Majlis Tertinggi Umno bagi tempoh tiga tahun. Siapa yang wajar kita pilih untuk memikul tanggungjawab yang kita amanahkan itu?

Jika mereka yang kita pilih itu gagal melaksanakan amanah tersebut maka yang salahnya ialah kita kerana kita tidak bijak membuat pilihan. Ketepatan memilih menjadi kritikal kerana jawatan di peringkat MT UMNO, sehingga kini, biasanya akan memberi peluang kepada mereka untuk memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan; sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri, Menteri Besar/Ketua Menteri dan sebagainya.

Menjadi bertambah kritikal lagi kerana merekalah yang akan memimpin parti untuk mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Ke-13 nanti. Pilihanraya tersebut amat penting kerana ia akan menentukan survival UMNO. Lantas ia akan menentukan pula hidup matinya Melayu:

Justeru apakah kriteria yang hendak kita gunakan dan disini dititipkan sepuluh (10) kriteria difikirkan perlu untuk dipertimbangan sebagai landasan untuk memilih pemimpin.

Kriteria pertama, seseorang bakal bergelar pemimpin itu semestinyalah berjiwa Melayu kerana parti UMNO adalah berteraskan orang Melayu dan berjuang untuk kepentingan orang Melayu. Mereka hendaklah dilihat komited dan tegas memperjuangkan serta melindungi hak, kuasa, kepentingan dan maruah Melayu, selaras dengan Fasal 3.2 – 3.5, Perlembagaan UMNO.

Diperhatikan hak dan kuasa kita semakin terhakis, kepentingan semakin tercabar dan maruah kita terus menerus dihina. Justeru keadaan yang nazak dan terdesak ini menuntut pemimpin yang kental jiwa Melayunya untuk bangkit berjuang bagi meletakkan semula hak, kuasa dan maruah bangsanya di tempat asalnya yang hak.

Kriteria kedua ialah mereka mestilah bersikap mesra, berjiwa rakyat dan dilihat suka menolong rakyat serta sering mendampingi rakyat. Terbukti mereka telah banyak menolong ramai orang miskin dari segi perumahan, pekerjaan, pendidikan dan meningkatkan pendapatan mereka.

Kriteria ketiga ialah berwawasan yang jelas untuk memajukan bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia. Wawasan ini yang memandu ahli dan parti menuju destinasi yang dipersetujui bersama.

Syarat yang keempat ialah berdedikasi, komited dan berprestasi yang gemilang bersandarkan jawatan yang pernah disandang, misalnya, menteri, timbalan menteri, Menteri Besar/Ketua Menteri. Terbukti jelas mereka telah mampu membawa kemajuan yang memberi manfaat kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Ia berupaya menjana aktiviti ekonomi, mewujudkan gunatenaga penuh (full employment), mengukuhkan pendapatan, membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan.

Pendek kata, UMNO memerlukan pemimpin yang mempunyai dua kemampuan – pemikir (a thinker) dan pelaksana (a doer).

Kriteria kelima pula ialah telus, mengamalkan urus tadbir yang baik (good governance) serta bertanggungjawab (accountable) kepada rakyat.

Kriteria keenam ialah baik budi pekerti, berintegriti, bersopan, mengenang budi dan menghargai jasa orang, sejajar dengan tuntutan Fasal 20.8 (g), Perlembagaan UMNO.

Ketujuh ialah bijak dan berhemah. Kita mahu pemimpin yang matang dan pragmatik dalam menyusun langkah bagi kebaikan orang Melayu dan UMNO. Keutamaan kita adalah selaras dengan maksud pantun ini:

Seterusnya kriteria kelapan ialah pemimpin yang berani berdepan dengan bukan Melayu yang mengutuk dan menghina parti, bangsa, pemimpin dan rajanya sendiri. Kita mahu pemimpin yang mampu berjuang mempertahankan wilayah negaranya sendiri. Kita mahu mereka yang dilihat berani dan tidak mudah tunduk kepada negara dan bangsa asing; selaras dengan semangat dengan Fasal 3.1, Perlembagaan UMNO.

Kriteria kesembilan ialah berpengalaman luas dalam parti, pentadbiran dan NGO; sudah masak dan matang – naik bertangga, turun berjinjang. Meningkat dengan kekuatan sendiri, bukan bersandar dengan mana-mana pihak.

Di samping itu, kepimpinannya terbukti diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa; yang demikian ia menjadi aset yang berguna kerana mampu meletakkan UMNO dan negara di persada global.

Manakala kriteria terakhir ialah kesederhanaan dan boleh diterima oleh kaum-kaum lain kerana negara kita bermasyarakat majmuk. Kriteria ini selari dengan Fasal 3.6, Perlembagaan UMNO.
Untuk berkuasa melalui BN, UMNO memerlukan sokongan kaum dan parti-parti komponen yang lain. Justeru pemimpin UMNO perlulah dilihat tidak bersikap ekstrimis, turut menjaga kepentingan mereka tanpa perlu menggadaikan kepentingan kita sendiri!

Sama-samalah kita saksikan pada bulan Mac nanti sejauh mana bijaknya 3.4 juta ahli UMNO dan 2,560 ahli perwakilan dalam menentukan nasib 14.1 juta umat Melayu dan 27.7 juta penduduk Malaysia. Ingatlah harapan menggunung ahli UMNO dan rakyat Malaysia terhadap UMNO/pemimpin mereka

No comments: