Thursday, October 16, 2008

AZALINA CONTOH PEMIMPIN GENERASI MUDA BERPOTENSI

Senario politik UMNO masa kini dilihat agak berantakan lebih-lebih lagi diperingkat tertinggi. Semua yang berlaku itu dikatakan bertitik tolak dari keinginan yang membuak-buak di semua peringkat termasuk pemimpin akar umbi yang mahukan perubahan dalam usaha mencari formula ke arah mengukuhkan lagi perpaduan dalam Parti Keramat Orang Melayu itu.

Mungkin kerana dasar Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang agak terbuka dan lebih bersifat demokrasi menyebabkan ramai dikalangan pemimpin dari pelbagai peringkat bangkit menyuarakan pendapat mereka, lebih-lebih lagi selepas tsunami politik dalam pilihanraya ke 12 lalu.

Persoalannya sekarang, adakah pekekkan dan lolongan sesetengah pihak yang kononnya mahu melihat perubahan dalam parti keramat iaitu UMNO hingga memaksa Perdana Menteri memikul tanggungjawab tersebut, adalah bertitik tolak dari kejujuran sejati?

Ataupun yang cuba digarap bersama tangisan dalam irama pilu yang telah dipertontonkan kepada masyarakat dengan olahan retorik misi penyelamat hingga mengorbankan beberapa pihak termasuk Tokoh Demokrasi Negara itu hanyalah bermotifkan kepentingan politik peribadi mereka semata...

Jika benarlah kejujuran untuk menyelamatkan UMNO yang menjadi landasan dan apa yang disuarakan itu adalah suara akar umbi. Nah kini segalanya sudah terbantang luas dan Mac 2009 ini akan menjadi gelangang terbaik untuk mereka-mereka ini membuat perhitungan, memilih siapa yang layak dan menelanjangkan pemimpin yang rakus.

Memilih pemimpin adalah amanah, jadi pilihlah pemimpin yang betul–betul ikhlas dan berkemampuan untuk membetulkan mana yang silap, mengarap segala kelemahan untuk dijadikan kekuatan dan yang penting sekali mampu memartabatkan kembali UMNO dan bangsa.

Ini kerana, jika kita gagal membuat perhitungan yang tepat dan katakanlah mereka yang kita pilih itu gagal melaksanakan amanah diberikan tersebut, maka yang salahnya ialah kita juga kerana kita tidak bijak membuat pilihan.

Untuk memilih pemimpin yang baik dan mampu meletakan UMNO berada di kedudukan yang tertinggi bukanlah perkara sukar.

Kerana, dalam UMNO sendiripun terlalu ramai pemimpin pelapis yang mampu memenuhi kriteria yang diperlukan, cuma sebahagian besar dari mereka tidak ditonjolkan dan kalau adapun mungkin mereka dibunuh oleh insan-insan yang tamakan kuasa kerana bimbang kerusi yang diduduki beralih tangan!

Sebagai contohnya, Menteri Pelancongan yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Sri Azalina Othman Said, adalah seorang dari beberapa pemimpin pelapis dalam UMNO yang dilihat mempunyai Kriteria tersebut.

Selain ikhlas membangunkan bangsa melayu, Azalina juga mampu memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam setiap tugas yang dipertanggungjawabkan terhadapnya. Dalam politik, kemampuan beliau memimpin Pergerakan Puteri UMNO telah menyerlahkan sifat kepimpinannya yang sejati, disamping berkemampun menjadikan pergerakan itu sebagai salah satu sayap penting dalam perjuangan UMNO ketika itu.

Walaupun masih belum bergelar Ketua UMNO Bahagian Pengerang secara rasminya, namun kerja-kerja memarbatkan parti orang melayu disana tersebut sudah lama dilakukannya. Dan hasilnya UMNO Pengerang kini semakin kuat dan amat digeruni oleh parti lawan.

Kejayaan beliau mencipta rekod kerana memenangi jawatan Ahli Parlimen tanpa bertanding sebanyak dua penggal berturut-turut pada pilihanraya yang lalu, turut menjadi bukti bahawa pemimpin muda kelahiran negeri Johor ini mempunyai kriteria kepimpinan yang hebat dan berkesan.

Selama dua penggal bergelar Ahli Parlimen Pengerang juga memperlihatkan tanah Pengerang perubahan berubah wajah. Dari satu lokasi yang agak sepi dan terpinggir dari pembangunan, kini masyarakat boleh berbangga kerana kawasan mereka sudah maju dan dinobatkan sebagai bandar ilmu dan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.

Keupayaan Azalina sebagai menteri kabinet juga tidak harus dipadang remeh. Kejayaan beliau membawa perubahan dalam Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha memarbatkan sukan negara dan juga belia sememangnya diakui semua pihak.

Begitu juga dengan Kementerian Pelancongan. Walaupun hanya baru memegang kementerian ini tidak sampai tujuh bulan, tetapi pelbagai usaha telah dan akan dilakukannya tuntuk menjadi industri pelancongan negara sebagai satu sumber pendapatan utama negara. Ia ternyata membuahkan hasil yang memberangsangkan!

Minggu pertama pencalonan sudah menampakkan hasilnya. Ahli majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Perlimen Pengerang ini sudahpun mendapat pencalonan yang mencukupi untuk beliau bertanding bagi mengekalkan jawatan tersebut.

Apa yang lebih menarik lagi, meskipun tidak pernah menyuarakan keinginannya untuk turut bertanding sebagai Naib Ketua Wanita UMNO dan dikhabarkan ada usaha untuk membunuh kerjaya politik beliau oleh individu tertentu yang irihati dan takut dengan keupayaanya selama ini, namun menteri muda kreatif ini sudahpun mendapat empat pencalonan untuk kejawatan tersebut.

Dan, dijangkakan Azalina mampu melepasi 20 pencalonan yang melayakkan beliau bertanding dan mampu memenangi kerusi tersebut seandainya beliau menawarkan diri bertanding bagi jawatan yang bakal dan dijangka akan dikosongkan oleh Datuk Sri Sharizat Abdul Jalil.

Adalah menjadi satu kerugian besar seandainya pemimpin seperti Azalina dinafikan kemampuannya.Beliau seharusnya tidak ada halangan untuk mendapat pencalonan dari wanita bahagian dan seterusnya mengangkatnya sebagai orang nombor dua pergerakan tersebut.

Soal beliau masih belum menawarkan diri untuk bertanding kejawatan tersebut bukanlah perkara besar, kerana Azalina dilihat sebagai seorang pemimpin yang sentiasa mendengar suara dari perlbagai peringkat, termasuk dari akar umbi dan tidak mustahil dia bertanding jika itu kehendak banyak pihak.

Bukan itu sahaja, malah Azalina juga dilihat sebagai regu yang paling serasi dengan Sharizat, jadi tidak menjadi satu kerugian jika nama Azalina terus dicalon dan seterusnya diangkat ke jawatan tersebut.

No comments: