Thursday, December 6, 2007

Cubaan Lumpuhkan negara melalui Hindraf

Pihak pengajur Perhimpunan Hindu Rights Action Force (Hindraf) di ibu kota Ahad lalu telah melanggar janji, apabila perhimpunan yang dijanjikan akan diadakan dalam suasanan aman, telah bertukar ganas.

Tindakan keterlaluan para penyokong perhimpunan yang telah bertindak agresif dengan melontar batu dan besi ke arah pihak polis hingga mencederakan empat anggota polis dan dua darinya cedera parah adalah satu tindakan yang keterlaluan.

Perhimpunan haram penganut agama Hindu bercorak militan bagi menuntut campur tangan Britain ke dalam hal ehwal Malaysia merupakan satu tindakan mengkhianati kemerdekaan negara serta berbaur perkauman.

Sejak awal-awal lagi iaitu sebelum perhimpunan tersebut diadakan lagi, kedua-dua parti pembangkang terbesar negara iaitu Pas dan PKR sudah pun membuat kenyataan menyokong tindakan tersebut.

Ini secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa kedua parti tersebut adalah dalang dan peneraju paling besar kepada perhimpunan yang berselindung disebalik tuntutan Hindraf tersebut.

Keadilan menerusi penasihatnya Anwar Ibrahim dan Tian Chua, sepertimana yang tersiar dalam laman web pembangkang itu, begitu ghairah sekali mendesak agar kerajaan mengeluarkan permit bagi perhimpunan tersebut.

Manakala Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Dato' Kamaruddin Jaafar pula telah melahirkan rasa kecewa dan dukacitanya di atas tindakan kerajaan yang menyekat dan menghalang perhimpunan tersebut yang kononnya diadakan bagi menyuarakan pandangan mereka secara aman.

"PAS berpendirian, semua pihak harus menghormati hak asasi mereka untuk menyuarakan pandangan dan berhimpun secara aman. Ini sebagai isyarat dan tanda kegelisahan sebilangan besar kaum India dengan dasar kerajaan yang tidak memberi manfaat kepada golongan miskin dan tertindas sehingga nasib dan kebajikan mereka terabai," katanya sepertimana yang tersiar dalam Harakahdaily.net.

Manakala, Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) sebelum ini juga turut mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar meluluskan permit ke atas perhimpunan yang dianjurkan oleh Hindraf itu.

AMK juga menyifatkan, sebagaimana perhimpunan yang dianjurkan Bersih pada 10 November lepas, perhimpunan Hindraf ini adalalah merupakan satu manifestasi hak rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pendapat sebagaimana yang dijamin Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga turut menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri tentang perhimpunan tersebut adalah satu kenyataan yang biadap, kerana mengecam Hindraf.

Sebenarnya, mereka terlupa bahawa perhimpunan haram yang disertai oleh kira-kira 10,000 itu telah melanggar dan tidak memperdulikan perintah mahkamah, amaran polis dan nasihat kerajaan agar tidak diadakan perhimpunan tersebut.

Penahanan Pengerusinya P. Wayta Moorthy, Jumaat di bawah Akta Hasutan 1948 juga tidak memberi sebarang kesan kepada penganjuran perhimpunan haram itu. Sebaliknya mereka tetap berdegil terus aksi tunjuk rasa tidak puashati di jalanan hingga mencetuskan kekecohan yang memaksa pihak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak balas.

Semangat berhimpun dilihat lebih berpaksi kepada berpesta keganasan kerana tidak ada apa yang dapat diperjuangkan melalui perhimpunan atau demonstrasi jalanan itu.

Seperti kata Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu, semua masalah berkaitan dengan orang India dan agama mereka telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada setiap minggu.