Dari sebuah badan bola sepak yang di segani, Football Association of Malaysia (FAM) kini dilihat semakin tidak releven. Kebanyakan tindakan mereka sejak akhir-akhir ini juga jelas memperlihatkan bahawa Badan Induk Bola Sepak Malaysia itu kian merapu dan mula tersasar daripada motif penubuhannya.
Sudahlah tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang diamahkan oleh rakyat dan Negara, FAM yang dibarisi oleh peneraju yang kurang professional juga lebih gemar menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menidakkan keupayaan pihak lain.
Walaupun tidak jelas mengapa tindakan sedemikian berakar umbi dalam FAM, namun tidak keterlaluan andai ditafsirkan bahawa banyak keputusan yang dibuat kebelakangan ini tidak lebih hanyalah untuk menyelimuti kelemahan yang ada pada mereka.
Terbaru, pertelingkahan kecil FAM dengan penganjur Piala Juara-Juara Remaja (CYC) berkaitan pengiktirafan kejuaraan yang bakal dianjurkan itu baru-baru ini, menjadi bukti bahawa Badan Induk Bola Sepak itu gemar bertindak mengikut perasaan. Dan, sering melemparkan kesalahan diri kepada pihak lain termasuk kepada penganjur kejohanan serta menempiaskannya kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said.
Sedar atau tidak, kenyataan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang menyatakan mereka tetap tidak akan mengikhtiraf kejohanan anjuran CYC itu kerana rasa dibelakangkan dan kononnya tidak membantu kepada peningkatan bolasepak Negara, secara tidak langsung telah menjadi pembuka pekung kepada kepincangan di dalam Badan Induk Bola sepak itu sendiri.
Yang menjadi persoalannya, adakah sidang wazir yang ada di dalam FAM sekarang ini benar-benar ikhlas memikul tanggungjawab untuk membangunkan bola sepak Negara. Kalau betul mereka ikhlas, mana mungkin mereka akan menghukum CYC sedemikian rupa.
Hanya kerana sedikit terluka kerana rasa dibelakangkan yang mana boleh ditafsirkan lebih kepada bersifat peribadi dan remeh, mereka sanggup menelanjang CYC dan Kementerian Belia dan Sukan dengan cara yang sangat halus.
Ini kerana, jika kejohanan ini tidak mendapat pengiktirafan dari Fifa sepertimana yang diharapkan ia pasti akan mengurangkan selera pasukan atau kelab-kelab luar untuk turut serta dalam pertandingan ini di masa akan datang dan lama kelamaan kejohanan yang rata-ratanya membariskan kelab-kelab terhebat serta tersohor dunia akan berkubur begitu sahaja.
Jawatankuasa Induk FAM sepatutnya bertindak lebih professional dan mengutamakan kepentingan peningkatan bola sepak negara tanpa ada rasa prejudis ataupun membiarkan isu remeh temeh seperti tersebut bersarang hingga menjurus kepada tindakan yang boleh merugikan banyak pihak.
Andai betul pun Gifted Group Limited (GGL) pernah membelakangkan FAM dalam penganjuran kejohanan tersebut, mereka (FAM) sepatutnya memaafkan GGL menganggap ia adalah satu kesilapan kecil yang masih boleh diperbaiki.
Selain usia masih muda dengan pengalaman (kerana baru sekali menganjurkan CYC), GGL pada tahun ini sanggup mengalah dan pergi menyembah FAM semata-mata untuk bekerjasama dengan Badan Induk Bola Sepak Malaysia bagi mendapat kelulusan Fifa melalui mereka.
Bagaimanapun oleh kerana sifat bongkak FAM, rundingan yang turut mewakilkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakub tidak mampu mengubah pendirian pihak jawatankuasa badan bola sepak itu.
Jika alasan yang kononnya kejohanan CYC tidak membantu kepada kebaikan bola sepak negara sepertimana yang dinyatakan oleh Presiden FAM baru-baru ini, ternyata mereka silap. Sama ada FAM terlupa ataupun buat-buat lupa yang hakikatnya bola sepak negara bermula sejak awal era 90an lagi tidak pernah pun menunjukkan sebarang peningkatan.
Pasukan Malaysia yang pernah berada sebarisnya dengan Pasukan Korea dan Arab Saudi serta pernah diletakkan dalam gred pertama pasukan terkuat asia, kini terpaksa menghuni tangga ke-169 dalam rangking dunia dan sekaligus jatuh ke kelas ketiga, dibelakang Singapura, Thailand, Indonesia dan Myanmar.
Yang menjadi persoalannya sekarang, dimana kredibiliti FAM untuk menilai kejohanan CYC kononnya tidak membantu membangunkan bolasepak negara sedangkan mereka sendiri pun tidak pernah berupaya membuktikan bahawa bola sepak negara berada dilandasan yang betul?
Malah apa yang dapat dilihat hari demi hari, lebih-lebih lagi sejak era FAM dibawah pentadbiran Sultan Ahamd Shah, ia dilihat semakin parah. Adakah ini yang dikatakan berjaya membangunkan bola sepak negara sepertimana dibangga-banggakan itu?
Pelik bin Ajaib itulah yang boleh dirumuskan berkaitan kemelut yang dihadapi oleh badan induk bola sepak negara itu. Atau mungkinkah keputusan tersebut dibuat kerana turut dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang lebih banyak tersirat daripada tersurat?
Pada hemat saya, walau apa pun alasan FAM dalam isu ini tetapi yang pastinya kejohanan CYC juga penting kepada perkembangan bola sepak negara. Hasil usaha GGL dan idea mantan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said untuk mengadakan CYC seharusnya dipuji dan mendapat pembelaan dari semua pihak termasuk FAM sendiri.
Selain pemain kita mampu menimba pengalaman daripada pemain-pemain berbakat dari kelab-kelab tersohor dari serata dunia, setidak-tidaknya kejohanan ini dapat menghapuskan jurang rasa kecil yang sekian lama bersarang dalam diri pemain kita.
Paling tidak pun, kejohanan yang buat pertama kalinya diadakan pada tahun 2007 ini mampu dijadikan sindiran (sepertimana penubuhan Myteam) kepada pihak FAM yang selama ini dilihat masih gagal mencari formula bagi mengangkat taraf bola sepak negara. Walaupun dalam masa yang sama mereka dibekalkan dengan peruntukan serta kemudahan bertaraf antarabangsa.
Wednesday, May 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment