Apa sebenarnya motif perjuangan Pergerakan Wanita UMNO yang kebelakangan ini dilihat bermati-matian sanggup mempertahankan ketua mereka, Datuk Seri Rafidah Aziz,hinggakan sanggup menidakkan keupayaan orang lain dan sekaligus cuba menutup terus pintu pencalonan muka-muka baru untuk menerajui kepimpinan sayap kiri UMNO itu.
Dengan pelbagai alasan dan tohmahan yang boleh dianggap kurang bijak dan agak keterlaluan, mereka sanggup menyusun propaganda berlapikkan finah dengan harapan asalkan ketua mereka yang sedia ada tidak akan ditentang atau diganggu-gugat oleh sesiapa.
Pada panglima-panglima perang lantikan Rafidah, semua individu yang bakal menghulurkan tangan untuk menerajui Pergerakan Sayap Kiri UMNO itu semuanya tidak berkelayakan. Jika ada yang cuba mencabarnya, mereka perlu dipancung terlebih dahulu sebelum ia melebarkan sayap pengaruhnya.
Walaupun pada hakikatnya, rata-rata mereka mahukan perubahan diperingkat pucuk kepimpinan dan menyedari bahawa ada di kalangan individu tersebut mempunyai kreadibiliti dan potensi untuk menyusung atur pergerakan wanita UMNO ke arah yang lebih baik.
Antara yang sering menjadi mangsa bahan belasahan pendekar-pendekar dalam wanita itu ialah Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Azalina Othman Said, yang sedikit masa lalu digembar-gemburkan oleh pihak media pernah berhajat untuk merebut kerusi `kekal' Rafidah Aziz itu.
Walaupun pada dasarnya menteri muda wanita yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Johor, itu tidak pernah sekalipun menyatakan hasrat tersebut secara nyata. Melainkan, kenyataan untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi yang disandangnya hingga kini.
Bagaimanapun, segala-galanya bermula setelah Mantan Ketua Puteri Umno itu diberikan penghormatan untuk merasmikan beberapa Mesyuarat UMNO Bahagian pada tahun lalu. Dan ia turut diperkuatkan pula dengan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee yang berhasrat untuk mencalonkan Azalina bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti Disember ini.
Bermula dari kenyataan terbuka Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras itu menyebabkan politik pergerakan Wanita UMNO Malaysia itu dilihat mula berserabut dan kelam kelibut. Rafidah dan bala tenteraanya dilihat mula kepanasan hingga sanggup menyelar tindakan Syed Ali itu disamping memperlecehkan kemampuan Azalina menerusi beberapa media tempatan.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan Malaysia yang ketika itu sebagai Menteri Belia dan Sukan tidak pernah sekalipun melatah dengan membuat kenyataan balas. Sebaliknya ketika diminta kenyataan balas oleh para wartawan, Azalina hanya sekadar menyuarakan hasratnya untuk mempertahankan kedudukan dalam Majlis Tertinggi UMNO sahaja.
Dari rentetang apa yang berlaku di atas, boleh disimpulkan bahawa dasar kepimpinan yang cuba diamalkan oleh Pergerakan Wanita yang di ketuai oleh Datuk Seri Rafidah Aziz ketika ini seolah-olah cuba menutup terus pintu wanita kepada orang baru terutamanya kepada bekas-bekas anggota puteri, antaranya mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dato' Sri Azalina Othman Said dan Dato' Noraini Ahmad.
Semua maklum yang sehingga kini Azalina tidak mendapat tempat dalam Exco Pergerakan peringkat pusat dan tidak diberi ruang sebagai AJK Wanita UMNO Negeri Johor. Datuk Seri Rafidah Aziz dan beberapa orang kuatnya terus sahaja melancarkan `perang' apabila Syed Ali menyatakan bahawa Ketua Wanita perlu ditukarkan dengan ketua baru.
Perkara ini pernah dinampakkan semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO yang lepas dimana beberapa Ketua Wanita Negeri memberi amaran mengatakan Syed Ali tidak boleh mencalonkan Azalina kerana beliau adalah ketua bahagian.
Kita percaya, tidak mustahi Wanita UMNO Bahagian Cheras akan mencalonkan Azalina bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti akan datang walaupun ketuanya Dato' Faridah Hassan merupakan proksi Rafidah.
Bagaimana sokongan ketua-ketua wanita bahagian lainnya kepada Azalina? Ternyata tindakan Syed Ali mendapat respon cukup baik dari 'silent majority' pergerakan itu. Selepas 'tindakan berani mati' mencalonkan Azalina kini rata-rata sedang menunggu respon Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Wanita UMNO akan ikut apa sahaja cadangan dan nasihat Pak Lah . Setakat ini ramai mengambil keputusan tunggu dan lihat. Ada kalangan segelintir Exco Wanita sudah menampakkan rasa bersetuju untuk menukar Rafidah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak pernah memandang sengkek kepada golongan muda seperti mana kata-kata dilontarkan oleh Datin Paduka Seripah Noli, Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO yang menyifatkan Azalina masih berhingus untuk menyandang jawatan ketua wanita.
Mempertikaikan Azalina serupalah kita mempertikaikan keputusan dan keupayaan Paklah yang melantik Azalina sebagai Menteri Belia dan Sukan dan kini diangkat sebagai Menteri Pelancongan Malaysia. Seolah-olah Pak Lah melantik menteri berhingus menjaga Kementerian Belia dan Sukan dan kini Menteri Pelancongan.
Adakah suara atasan wanita itu lupa bahawa Rafidah ketika dilantik oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebagai Senator ketika berusia 32 tahun juga boleh dikatakan pemimpin berhingus? Sama-samalah kita fikirkan dan kaji dengan mendalam kenyataan ini.
Memang kita akui tahap kebencian sesetengah pemimpin Wanita kepada Azalina tidak boleh dibendung lagi. Umpamanya Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique difahamkan pernah satu ketika dahulu pernah mengarahkan semua ketua-ketua wanita bahagian di negeri ini agar jangan memanggil Azalina untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian pada tahun tersebut.
Begitulah lebih kurang dasar menutup pintu Wanita Johor diterajui Halimah kepada Azalina. Kita berani mengatakan untung nasib Azalina selain ditentukan oleh Allah taala juga ditentukan oleh Pak Lah. Kalau Pak Lah tidak memberikan tempat kepada Azalina dalam kerajaan mustahil Malaysia mendapat 68 pingat emas dan tempat kedua Sukan Sea ke-24 di Thailand.
\
Kalau dilihat dengan mata hati, pemimpin yang dianggap berhingus oleh sesetengah orang inilah juga yang berjaya mengharumkan nama negara di bidang sukan dan kini semakin melonjakkan nama Malaysia dalam bidang pelancongan pula.
Dalam soal ini kita tidak bercadang untuk mengampu Azalina tapi mempersoalkan tindakan sesetengah pemimpin Wanita yang dilihat tidak jemu-jemu mempertikaikan kredibiliti Azalina. Walaupun mereka tahu apa yang berlaku itu hanya baru setakat cadangan sahaja.
Kalau Wanita masih mahu mengekalkan Rafidah sebagai ketua tiada siapa pun yang melarangnya. Terserahlah kepada para perwakilan yang akan menentukannya. Yang menjadi persoalannya sekarang kenapakah mereka (barisan Tertinggi Wanita) begitu ketakutan sekali apabila nama Azalina disebut.
Kalau ada ketua-ketua wanita bahagian mahu mencalonkan Azalina bertanding ketua wanita tiada siapa pun yang berhak melarang. UMNO itu bukannya milik sesiapa dan terpulang kepada sesiapapun yang mahu bertanding.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment