Wednesday, May 7, 2008

Hentikan Perang Pendapat

Saban hari, ada sahaja pendapat yang disiarkan oleh media sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut meletakkan jawatan atau sebaliknya. Yang berpendapat patut meletakkan jawatan mahu ia disegerakan manakala yang lainnya mencadangkan dilakukan secara perlahan-lahan atau melalui pemuafakatan.

Saya rasa, sudah cukuplah setakat itu pelbagai pendapat yang diberikan. Sebenarnya boleh disimpulkan bahawa hanya ada dua pendapat sahaja iaitu pertama Pak Lah letak jawatan segera dan keduanya peralihan kuasa secara licin setelah kemelut UMNO diselesaikan.

Yang berbeza hanyalah pihak yang memberi pandangan. Mereka yang menyokong Pak Lah mahu beliau dikekalkan manakala mereka yang sehaluan dengan Tun Dr. Mahathir atau Datuk Seri Najib Tun Razak, kalau boleh, esok pagi Pak Lah letak jawatan.

Umpamanya, Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Andika Ujang memang dikenali sebagai penyokong kuat Dr. Mahathir manakala Pengerusi Veteran UMNO, Tan Sri Tajuddin Ali pula penyokong Pak Lah. Jadi kita boleh fahamlah pendirian masing-masing.

Kalau pihak media terus-menerus mendapatkan pandangan pelbagai pihak, pandangan sedemikian jugalah yang akan diperolehi. Kesudahannya, kita hanya sibuk membincangkan dua tajuk melibatkan satu perkara sahaja iaitu letak jawatan segera atau lambat.

Orang lain iaitu parti pembangkang, senyap-senyap dah buat perancangan lain. Mereka nak tawan semua negeri kecuali Johor yang nak dijadikan muzium UMNO. Sakit hati mendengarnya, tetapi orang UMNO masih sibuk mengenai kedudukan Pak Lah.

Jika demikian halnya, orang UMNO asyik sibuk dengan perkara itu, sehinggalah suatu hari nanti, UMNO akan hanya tinggal sebagai sejarah sahaja. Sesuai sangatlah dimasukkan ke dalam Muzium UMNO di Johor.

Bermula daripada Tun Dr. Mahathir hinggalah ke pencacai di kedai kopi, berpindahlah kepada tajuk lain. Dulupun sibuk sangat nak minta Tun Dr. Mahathir letak jawatan. Selepas 22 tahun, beliau letak dan kita beria-ia sangat kita nakkan Pak Lah.

Dah dapat Pak Lah, nak tukar lagi. Esok, dapat Datuk Seri Najib, entah berapa hari pula minta tukar dengan Tan Sri Muhyddin Yassin pula. Orang UMNO asyik sibuk tukar pemimpin, parti lain dah nak tukar kerajaan!

No comments: