Orang ramai kecewa dengan cara ahli Parlimen berdebat di Dewan Rakyat semalam yang dianggap sebagai memalukan.
Menurut mereka, ahli Parlimen perlu berhemah semasa berhujah lebih-lebih lagi apabila sidang Dewan Rakyat sekarang disiarkan secara langsung oleh RTM.
Mereka berkata, sikap itu penting kerana setiap perlakuan dan bahasa yang dipertuturkan akan diamati oleh rakyat negara ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati rata-rata mereka melahirkan kekecewaan berhubung perbuatan ‘memalukan’ yang dilakukan oleh segelintir ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat, semalam.
Seorang juruteknik, Mohd. Arshad Putih, 40, berkata, ahli Parlimen perlu bersopan santun ketika berhujah kerana ia mencerminkan peribadi mereka.
‘‘Kalau wakil-wakil rakyat ini terus bersikap seperti tidak bertamadun, maka rakyat akan menyesal memilih mereka.
‘‘Jadi pelihara peribadi dan pertuturan kerana ia dinilai oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.
Mohd. Arshad bagaimanapun bersetuju agar persidangan itu terus disiarkan secara langsung oleh RTM.
Ibrahim Jantan, 49, pula memuji langkah RTM mengadakan siaran langsung persidangan itu kerana ia ‘membenarkan’ rakyat mengetahui isu-isu terkini dalam negara.
Namun, katanya, ahli-ahli Parlimen perlu menuruti segala adab dan peraturan Dewan Rakyat seperti berdiri ketika mengaju dan menjawab soalan.
‘‘Saya hairan ada sesetengah ahli Parlimen bersuara seperti mahu jadi ‘hero’. Semasa bersidang, mereka harus bersopan dan mengikut giliran yang ditetapkan, jangan sampai jadi kecoh.
‘‘Jadi, saya harap peraturan Dewan Rakyat diperketatkan dan mana-mana ahli Parlimen yang gagal mematuhinya patut diminta keluar agar ia dapat disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Kadir Mohaideen, 42, pula berpendapat, siaran langsung sidang Dewan Rakyat itu patut diteruskan kerana ia memberi banyak manfaat kepada semua penduduk di negara ini.
Kadir berkata, perjalanan persidangan itu secara langsung di televisyen memberi banyak maklumat kepadanya dan orang ramai.
Semasa sidang Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menggelarkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin sebagai bigfoot.
Bung Mokhtar kemudiannya membalas dengan menggelarkan Karpal sebagai big monkey.
Friday, May 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment