Sebenarnya, saya sendiripun tidak tahu di mana harus saya mulakan tulisan ini. Perasaan bimbang dan tanggungjawab sering sahaja bertelingkah dalam benak fikir ini. Bimbang dituduh sebagai pembodek, pengampu ataupun paling tidakpun dengan gelaran “cybertroopers” Azalina.
Al-maklumlah dalam keadaan sekarang dan dalam suasana politik negara yang agak panas dengan pelbagai isu kebelakangan ini sudah pastinya ia turut memungkinkan ada pihak-pihak tertentu akan membuat tuduhan melulu dengan tafsiran yang kurang tepat serta jauh tersasar.
Namun atas rasa untuk menyuarakan rasa hati dan sekaligus mengudang pengertian dari semua pihak, saya terpaksa gagahi juga untuk mengatur bait-bait ayat ini hingga ke noktah terakhir walaupun menyedari berkemungkinan besar saya terpaksa berhadapan dengan cacian, ejekan, tohmahan dan sebagainya.
Tambah lagi, getusan minda yang saya paparkan di laman blog ini lebih memihak kepada seorang individu sahaja. Individu yang saya maksudkan ialah mantan Menteri Belia dan Sukan yang kini bergelar Menteri Pelancongan Malaysia, Dato’ Sri Azalina Othman Said yang satu ketika dikenali sebagai `panglima siber’.
Dengan mainan bahasa dan ayat yang teratur, kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu telah diadaptasikan oleh para wartawan dan “bloggers-bloggers” dalam usaha untuk meletakkan kesalahan kepada Menteri Pelancongan Malaysia, Dato’ Sri Azalina Othman Said sewaktu mengurus tadbir Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.
Tidak cukup dengan isu kewajaran meluluskan pusat sukan berprestasi tinggi di bangunan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), Brickendonbury, London, Menteri Pelancongan Malaysia turut disusuli dengan pelbagai isu lain lagi terutamanya yang berkaitan dengan kewangan dalam kementerian tersebut.
Bagaimanapun semua masalah yang dilihat bertali arus menghiasi dada akhbar dan blog termasuk di akhbar The Sun, dapat ditangani dan diatasi dengan baik. Kenyataan pihak Badan Pencegah rasuah, MSN, WSFFM dan beberapa pihak berkaitan turut menjadi bukti bahawa menteri wanita itu sebenarnya bebas daripada segala tuduhan penyelewengan tersebut.
Sebenarnya, isu di atas bukanlah perkara pokok yang mahu saya perbincangkan disini. Cuba paparan rentetan itu sekadar untuk mengajak pelayar semua mengimbas kembali isu ini semata-mata untuk sama merenung mencari jawapan apa helah sebenar disebalik kritis dalam mengkritik Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui oleh YB Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sekali imbas sudah pasti ramai yang menyangka ia adalah lumrah tetapi jika ditatapi dan disusuri secara mata hati sudah pasti pelayar semua akan menampakkan kilaunya. Mungkin juga anda semua bersependapat dengan saya dan menganggap isu tersebut telah dicipta dan dirancang dengan bagitu teliti oleh individu tertentu.
Walaupun gagal menterjemah maksud sebenar disebalik `rancangan licik itu’ tetapi hemat yang dapat disimpulkan, semuanya adalah dalam usahanya untuk memerangkap Azalina ke penjara bersalah dan sekaligus merundumkan kreadibiliti beliau sebagai pemimpin kreatif dan bermotivasi.
Yang menjadi persoalannya, siapakah dalang utama dalam mencipta retorik dongengan tersebut. Dan, apakah kepentingan individu tersebut hingga sanggup `berkonspirasi’ sedemikian rupa... ? Itulah persoalan besar yang masih belum terungkai jawapannya sehingga kini.
Ada desas desus yang cuba mengaitkan Menteri Belia dan Sukan yang baru iaitu Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam kes ini. Jika benarlah Datuk Ismail Sabri terlibat, apakah motif sebenar beliau berbuat demikian?
Mungkin juga ia bermula dengan perasaan cemburu dengan kejayaan yang pernah dicipta oleh Dato’ Sri Azalina dalam Kementerian Belia dan Sukan dan merasakan dia tidak mampu untuk menyainginya...Sebab itulah dia cuba bertindak mencari kesilapan Azalina dengan harapan beliau tidak akan dipersalahkan jika gagal menyaingi kejayaan Azalina.
Kalau tidakpun, mungkin juga dia (Ismail Sabri) ada agenda serta pakatan sulit untuk menjatuhkan Dato’ Azalina sepertimana yang pernah berlaku kepada seorang bekas ahli perliman dari Johor.Desas-desus kononnya beliau juga turut terlibat dalam pakatan tersebut, wallahualam...
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang beranggapan bahawa apa yang berlaku kepada Dato’ Sri Azalina itu sebenarnya bertitik tolak dari rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kononnya, untuk melemahkan pengaruh Perdana Menteri, mereka perlu melancarkan perang psikologi terhadap panglima perangnya dahulu. Atau dengan lain perkataan mantan Menteri Belia dan Sukan perlu dihancurkan terlebih dahulu kerana Dato Sri Azalina sekarang ini di lihat sebagai penglima yang paling ampuh dan kem Presiden UMNO itu.
Dan yang terbaru sekali, ada desas-desus yang mengaitkan lakaran skrip jahat yang berpaksikan untuk menjatuhkan Azalina itu sebenarnya telah dicipta oleh pihak-pihak tertentu dalam Wanita.
Ironinya mudah sahaja... Ia sebenarnya bertujuan untuk menafikan kemampuan Azalina sebagai pemimpin yang paling layak untuk menerajui Pergerakan Wanita Umno ketika ini. Pada mereka, dengan tersebarnya isu korapsi ciptaan mereka itu sedikit sebanyak ia mampu melunturkan keyakinan wanita yang pernah berhajat untuk mencalon dan seterusnya menyokong Ahli Parlimen Pengerang ini dalam Pemilihan Agong UMNO Disember nanti.
Dengan erti kata lain, mereka kini dihantui oleh bayang-bayang mereka sendiri. Sedangkan Bekas Ketua Penaja Pergerakan Puteri Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mencabar jawatan tertinggi dalam Pergerakan Wanita itu.
Apapun alasannya namun yang pasti adalah menjadi satu kerugian besar jika kerjaya politik Dato Sri Azalina cuba dinafikan. Ini kerana, beliau dilihat sebagai seorang pemimpin muda yang berkarisma dan berkemampuan.
Malah, tiada siapa yang dapat menafikan kegagahan dan kejayaan Azalina sebagai pemimpin UMNO. Jika ada pertikaian tentang keupayaannya hanyalah datang dari mereka yang iri hati dengan kejayaannya selama ini atau mungkin juga daripada pihak parti pembangkang sahaja.
Jika disingkap sejarah Dato’ Azalina sekalipun, sudah pasti ramai yang mengakui bahawa kejayaan beliau mencipta kedudukannya sekarang, banyak bergantung kepada kemampuan dan keupayaannya membuat kerjanya dan bukan berumpankan `gimik populariti’ politiknya.
Wednesday, May 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment