Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua bahagian UMNO agar tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan isu pemilihan pucuk pimpinan, sebaliknya memusatkan tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.
“Lebih baik tindakan seperti ini (EGM) tidak dilakukan kerana kita pada waktu ini memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan, jadi kita tumpukan pada hal yang diperlukan oleh rakyat,” kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO amat menyedari tentang masalah dan kehendak rakyat apabila mereka terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Menurutnya, ahli UMNO tidak boleh leka dengan soal parti terutama berhubung dengan pemilihan pucuk pimpinan sehingga mereka lupa tanggungjawab dalam membela kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata, ahli UMNO perlu mengukuhkan perpaduan mereka dan memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam mengambil sebarang tindakan yang dapat meringankan beban kehidupan rakyat ketika ini ekoran kenaikan harga barang keperluan termasuk bahan bakar.
Malah, katanya, rakyat juga mahukan pembaharuan dalam hal-hal tertentu seperti perundangan dan integriti seperti yang telah dijanjikan kerajaan sebelum ini.
“Jika ini tidak dilakukan, parti kuat macam manapun, rakyat tidak akan terima. Rakyat menyokong kerana kita ada program untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, sikap rakyat itu bukan bermakna kerajaan tidak menjayakan program pembangunan sebelum ini, tetapi rakyat berpendapat ia belum mencukupi.
Sebab itulah, katanya, UMNO perlu mengambil langkah mengikis tanggapan pihak tertentu bahawa ahli UMNO terlalu sibuk dengan urusan pemilihan pucuk pimpinan pada Disember ini hingga lupa pada agenda membela kebajikaan rakyat.
MT UMNO, ujar Abdullah, telah membincangkan perkara itu supaya ahli UMNO tidak terlalu leka dengan soal pemilihan dan mengambil tindakan-tindakan yang boleh memecahbelahkan parti serta memesongkan kerajaan daripada menjalankan tanggungjawabnya.
“Kita telah diberi mandat untuk memerintah dan menjadi kerajaan yang perlu bekerja dan memberi perhatian kepada rakyat,” katanya.
Abdullah menegaskan, UMNO tidak mahu dituduh sebagai parti yang sibuk dengan berpolitik dan pemimpinnya pula sentiasa bergaduh kerana berebut jawatan dalam parti.
“Memang ia menarik dan semua orang mahu tahu... kita akan kurangkan hal itu (politiking) dan membuktikan kepada rakyat bahawa soal parti adalah soal parti dan apabila tiba masanya nanti, semua ahli akan mengambil bahagian masing-masing dan menentukan kepimpinan parti,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam mengatasi pelbagai masalah rakyat dan melakukan pembaharuan, isu pemilihan pucuk pimpinan masih menjadi perhatian semua pihak.
Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, kertas kerja mengenai pelaksanaan stok penimbal bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan lain sentiasa mencukupi akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menurut Perdana Menteri, Kabinet juga telah menerima cadangan mengenai penyediaan kemudahan perumahan yang harganya lebih rendah bagi membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan mereka, lebih-lebih lagi ketika harga barang semakin meningkat.
Katanya, walaupun ia sukar dilakukan, usaha perlu dibuat bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah, misalnya melalui penawaran harga rumah yang lebih murah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment