Monday, March 2, 2009

Benarkah wujud Team dan Komplot dalam pemilihan UMNO?

Benarkah wujud Team dan Komplot dalam pemilihan UMNO?

Memang tidak dinafikan ada dikalangan ‘nujum-nujum UMNO” yang cuba menimbulkan isu komplot dalam pemilihan parti keramat orang Melayu pada Mac ini.

Lebih-lebih lagi bila melihatkan aliran sokongan bahagian-bahagian UMNO ketika ini seolah-olah menunjukkan suatu rangkaian sokongan kepada inividu tertentu yang lebih bersifat komplot.

Namun bagitu, bagi saya perkataan komplot membawa konotasi yang negative dan untuk membolehkan komplot wujud mesti ada ‘team’ atau ‘pasukan’.

Sementara Dato’ Sri Azalina Othman Said ketika berada di Kaherah baru-baru ini juga turut memberi amaran bahawa “Berpasukan akan Menghancurkan Parti”.

Menegaskan kebimbangannya mengenai perkara ini, katanya kempen untuk tempat dalam jawatan tertinggi parti, menyebabkan wujud pasukan-pasukan.

“Sekarang ini ada diperkatakan mengenai wujudnya team A, B dan C dalam pemilihan dan perkembangan ini tidak sihat,” tegasnya.

Beliau menekankan mereka yang utarakan kononnya daripada pasukan tertentu dan disokong oleh pemimpin tertentu adalah individu yang ‘kosong’ dan hanya mementingkan diri untuk kepentingan peribadi.

Persoalannya, benar atau tidak wujud Team A, B dan C dalam pemilihan UMNO kali ini?

Setakat ini bakal Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak masih belum membuka mulut, siapakah yang beliau kehendaki untuk berada dalam pasukan baru pimpinannya. Mungkin juga Najib tidak mahu mengiyakan atau menidakkan seseorang calon, kerana bimbang ianya berlawanan dengan arus akar umbi Umno.

Ada yang berpendapat mungkin Najib akan menuruti saranan bekas Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad supaya dihapuskan saki baki juak-juak Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno. Mungkin juga Najib perlu 'ignore' sahaja saranan Dr Mahathir kerana, dalam keadaan sekarang hampir 100 peratus bahagian, mencalonkan beliau sebagai presiden.

Semua orang Umno hendak jadi orang Najib sekarang. Sama ada dia orang Mahathir, atau orang Anwar Ibrahim, atau orang Abdullah, semua hendak dilihat 'attached' dengan Najib.”

Datuk Seri Najib Abdul Razak yang memenangi jawatan Presiden tanpa bertanding, secara praktiknya sudah membentuk pasukan yang akan menguasai parti paling dominan di Malaysia pada masa hadapan.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau akan berundur daripada kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pada Mac depan, Najib ditunjuknya sebagai orang yang bakal mengambil alih kepimpinan negara.

Yang jelas, apabila Najib ditonjolkan sebagai pengganti, sudah pastilah ‘semut-semut UMNO akan mengerumuni Najib’. Aliran seperti ini biasa dalam UMNO dan kalau tidak berlaku tak kanlah Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan beliau dipingggirkan selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Kini apabila Najib ditonjolkan, akan ramailah menyokong Najib dan apakah ini boleh dianggap sebagai mereka yang mahu menyertai pasukan Najib?

Hakikatnya, tidak timbul sama sekali soal pasukan. Mungkin orang bercakap mengenai pasukan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit masa lalu pernah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

“Sekarang ialah masa untuk Presiden dan Perdana Menteri baru. Hanya terdapat dua calon. Tetapi hingga kini hanya Dato Seri Najib Tun Razak yang menerima pencalonan untuk jawatan tersebut. Jelaslah yang beliau (Najib) merupakan calon unggul. Dan seperti yang dijangka usaha untuk memburukkan imej beliau sudahpun bermula.

Bagaimana dia mengurus tohmahan ini akan memperlihatkan mutu kepimpinannya. Jika Kerajaan Najib berkehendakkan kelainan daripada Abdullah maka penyokong Abdullah tidak boleh turut serta.”

Tetapi apakah benar wujud kedudukan sedemikian?

Pokok pangkalnya, generasi baru kepimpinan dalam UMNO sedang muncul dengan Najib tentulah memerlukan barisan pemimpin dalam parti dan kerajaan yang berbakat, berkebolehan, setia, dapat dipercayai serta disenangi pengundi.

Yang nyata, ahli-ahli akar umbi di bahagian-bahagian UMNO tahu dan akan melakukan tanggungjawab mereka dengan bijaksana, untuk menyediakan kepada Najib satu kumpulan pemimpin UMNO yang dapat melonjakkan UMNO dan BN ke satu tahap baru yang lebih baik.

Lebih baik setiap calon adalah ‘calon bebas’ yang tidak mengaitkan ataupun dikaitkan dengan pemimpin tertentu. Cara ini akan membolehkan akar umbi memilih seseorang calon yang benar-benar berkaliber, bukan kerana dia orang itu atau orang ini.

Persoalannya benarkah wujud team dan kenapa orang UMNO sendiri terikut-ikut dengan cakap-cakap ‘pengadu domba’ dan juak-juak pemimpin tertentu yang ‘kecewa’ kerana sebab-sebab mereka ditolak dan sesetengahnya semakin ditolak oleh akar umbi dan ‘rumah (UMNO) pun sudah kata pergi’ untuk pemimpin-pemimpin sedemikian.

Dalam soal pemilihan ini kita jangan taksub terhadap seseorang dan sokonglah mereka yang jelas mampu memimpin dan menggembalikan maruah UMNO.

Sokongan bukan kerana faktor-faktor kenegerian tetapi mereka yang mampu memberi sumbangan untuk kekuatan UMNO, mengekalkan perpaduan bangsa dan negara selain visi memajukan Orang Melayu dan bukan-Melayu dalam UMNO dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Apa salahnya jika menyokong Najib kerana beliau sudah ditonjolkan sebagai pengganti yang terbaik ketika ini. Dan kerana menyokong Najib, janganlah pula mereka ini dicop sebagai ahli team Najib kerana bak kata Azalina sebagai pemimpin, kita mesti menyokong kepimpinan yang berkuasa pada hari ini.

Katanya beliau setia kepada Presiden seperti sebelum ini dengan Dr Mahathir dan Abdullah dan ‘apabila Najib dilantik sebagai presiden, “Saya juga akan setia kepadanya kerana dia pemimpin kita”.

2 comments:

Anonymous said...

Orang luar UMNO sedang memerhati perkembangan yang sedang dan akan berlaku berhubung dengan pemilihan kepimpinan akhir bulan ini. Mereka ini (orang luar) penting kerana akhirnya merekalah yang akan menentukan hidup mati UMNO dalam PRU 13 nanti. Dalam konteks siatusi semasa, pandangan orang luar ini terhadap kepimpinan UMNO nampaknya amat tidak baik. Semua orang faham bahawa itu semua persepsi yang tidak pasti kesahihannya. Tetapi persepsi inilah yang akan mempengaruhi orang luar ini nanti dalam membuat pemilihan semasa pilihanraya. Jadi UMNO dalam segala tindak-tanduknya termasuk dalam soal pemilihan akhir Mac ini perlu betul. Pilihlah pemimpin yang betul-betul layak jadi pemimpin. Nampaknya bakal presiden sudah pasti tetapi jawatan-jawatan lain itu perlu diberi perhatian. Siapa yang sepatutnya dipilih di kalangan mereka.

Anonymous said...

Mengharapkan Perhimpunan UMNO akhir bulan ini menampilkan peroses pemilihan yang bersih kerana mereka inilah, mahu tak mahu, yang akan memimpin negara nanti. KIta mahu pemimpin yang layak dijadikan pemimpin. Pemimpin yang antara lainnya bukan di kalangan mereka yang rosak moralnya, bukan yang mengutamakan dirinya, bukan yang menyalahgunakan kuasanya, dan bukan yang mengamalkan atau membiarkan rasuah. Pemilihan yang didasarkan kepada kawan, kumpulan (team),kenegerian atapun kerana disogokkan wang/ janji akan merosakkan agama, bangsa dan negara.