Sunday, November 16, 2008

Isu Pampena -Lim Kit Siang Nyata Yang Rakus



Tulisan Ahli Parlimen Ipoh, Lim Kit Siang yang berjudul ` Azalina - honour your promise and table in Parliament PriceWaterhouse report on Pempena scandals’seperti yang dimuatkan dalam laman webnya baru-baru ini jelas sekali memperlihatkan sikap dan agenda sebenar Ahli Parlimen dari parti DAP itu.

Isu yang cuba ditimbulkan oleh beliau berkaitan kegagalan Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Azalina Othman Said melunaskan janji untuk membentangkan laporan siasatan `PriceWaterhouse’ berkaitan dengan skandal dalam Pempena baru-baru jelas tidak berasas.

Bukan itu sahaja, malah persoalan yang cuba ditimbulkan oleh Ahli Parlimen dari parti DAP terutamanya menerusi isu tersebut, tidak lebih hanyalah sebagai satu usaha untuk memberikan gambaran buruk dengan niat yang terselindung kepada barisan Ahli Parlimen dari parti pemerintah khususnya kepada Menteri Pelancongan tersebut.

Lim Kit Siang menerusi laman webnya itu turut mempersoalkan kenapa Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Azalina Othman Said, gagal menunaikan janjinya untuk mengemukakan keputusan laporan siasatan yang jalankan itu di Parlimen seperti yang dijanjikan oleh beliau sebelum itu.

Malah, tindakannya yang memetik laporan tanpa asas dari salah sebuah akhbar berbahasa inggeris baru-baru ini juga dilihat sebagai satu cubaan untuk memburukkan imej bekas Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Pengerang itu.

Dalam tulisannya yang bertarikh 2 November itu, beliau jelas sekali cuba memberikan gambaran seolah-olah Azalina merupakan seorang menteri yang tidak bertanggungjawab. Menteri yang hanya pandai menabur janji tetapi tidak betah untuk menunaikan,disamping pelbagai tuduhan yang menjengkelkan lagi.

Walaupun agak jelik, namun sekali pandang dan jika tidak diperhalusi kenyataan itu nampak ada benarnya. Apatah lagi, pada tarikh dan masa yang dijanjikan tersebut, Azalina sememangnya tidak hadir pada persidangan parlimen tersebut dan kertas laporan siasatan seperti yang dijanjikannya juga tidak dibentangkan.

Tetapi, soal ketidak hadiran Menteri Pelancongan ketika itu bukanlah satu persoalan yang besar kerana yang pentingnya dalam isu ini ialah Azalina sebenarnya tidak pernah berbohong mengenai perkara tersebut.

Pada hakikatnya beliau sudahpun menunaikan janjinya itu dan ia disahkan sendiri oleh Azalina ketika dihubungi baru-baru ini. Beliau juga nyata terkejut dengan perkembangan tersebut serta kesal dengan tuduhan yang dilempar oleh bekas ketua pembangkang, yang kini sedang melukut dalam Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Katanya, walaupun tidak hadir ke Parlimen pada tarikh dan masa yang telah dijanjikan tersebut kerana berada diluar negara bagi mengikuti program Kementerian yang lebih penting dan tidak boleh dielakkan, namun beliau telah mengarahkan wakilnya untuk menghantar kertas keputusan laporan siasatan tersebut ke pihak yang bertanggungjawab.

Cuma entah dimana silapnya, laporan yang sepatutnya dihantar kepada pihak Parlimen dan sepatutnya dibentangkan pada tarikh yang dijanjikan itu, gagal menjadi `halwa telinga’ ahli parlimen semua khususnya, barisan ahli parlimen pembangkang.

Dalam isu ini, sebagai pemimpin yang pernah memengang `title’ Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau juga perlu menyiasat dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Ini kerana, jika silap perhitungan sepertimana yang berlaku kepada isu Azalina ini, sudah pasti rakyat bukan sahaja hilang kenyakinan kepada pakatan pembangkang, malah mereka akan beranggapan bahawa semua ahli parlimen dari parti pembangkang tidak pernah ikhlas untuk membantu rakyat dan negara sebaliknya, mereka hanya tahu mengkritik sahaja.

Mereka (pembangkang) hanya tahu mencari silap pihak lain terutamanya dari parti kerajaan sahaja tetapi, tidak pernah langsung sekalipun turut berusaha untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi tersebut.

Contohnya dalam isu Pempena tersebut, apa yang mampu dilakukan oleh Lim Kit Siang dan apa kepentingannya dengan laporan tersebut kepada beliau, selain hanya untuk dijadikan senjata bagi memburukan pihak kerajaan semata-mata?

Ini kerana dalam isu ini, langkah pembaikannya kini sudahpun dilakukan oleh Azalina. Kalau tidak masakan Azalina sendiri yang mengarah `PriceWaterhouse’ untuk menyiasat syarikat tersebut dan jika terbukti terdapat penyelewengan, beliau pernah berjanji akan menyerahkan kepada pihak Badan Pencegah Rasuah.

No comments: