Wednesday, September 5, 2007

MALAYSIA TODAY JUGA PERLU DI`FREEZE’

Saya begitu tertarik dengan artikel seorang sahabat iaitu saudara Khairy Norhisham dalam kpmu.net, menyarankan agar bloggers-bloggers terlampau seperti Raja Petra dan beberapa nama lagi perlu diambil tindakan ISA kerana dirasakan cuba melagakan bangsa Melayu dan bangsa-bangsa asing kerana tidak senang dengan keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Memang tidak dapat dinafikan, terlalu ramai bloggers terlampau sebegini, dengan bebas tanpa ada sekatan, bergerak aktif menjelajah ruang-ruang maya negara kita lantas membakar api perkaumanan serta menikam sensitiviti bangsa, agama dan raja-raja tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal dipikul bebannya oleh negara.

Atas tiket kebebasan bersuara, mereka itu dilihat cuba menghancurkan Malaysia dengan fahaman serta idealogi jahat mereka yang sememangnya mempunyai impian kotor dengan harapan untuk kembali menjajah negara dan minda bangsa kita.

Namun, saya berpendapat bahawa saranan supaya bloggers-bloggers jahat seperti Raja Petra ditahan dibawah ISA semata-mata untuk mengawal pergerakan mereka itu tidak akan lengkap seandainya dalam masa yang sama kita tidak mengambil sebarang tindakan terhadap blog-blog yang menjadi `kalam’ kepada fahaman mereka itu.

Pengendali-pengendali blog seperti Raja Petra pastinya sudah melatih askar-askarnya dan menggalakkan mereka agar sentiasa hidup dan memberi komen atau buah fikiran jahat seperti dalam isu perkauman yang selama ini sudah menjadi nadi kepada perjuangan mereka.

Oleh itu dikesempatan ini, saya ingin mencadangkan agar pihak tertentu terutamanya kerajaan seharusnya juga bertindak tegas terhadap blog-blog sedemikian terlebih dahulu. Dengan cara ini sahajalah, kita dapat mengawal dengan mudah pergerakan mereka daripada terus-terusan berleluasa menyebarkan fahaman jahat mereka itu.

Sudah pasti, tindakan ini adalah sesuatu yang sukar untuk diambil tindakan oleh kerajaan negara ini. Selain kebanyakan blog didaftarkan di luar negara, tindakan ini juga dibimbangi akan disalah ertikan oleh pihak-pihak tertentu dan secara tidak langsung akan dijadikan bahan utama untuk memburukkan kerajaan, apatah lagi sebahagian besar dari blog-blog terlampau sebegini turut didalangi oleh pihak pembangkang.

Walaupun begitu, kita mesti tegas! Kerajaan harus bertindak menutup terus blog-blog yang dianggap mengancam negara. Kepada blog-blog yang didaftarkan di luar negara, itu bukanlah satu alasan tiada tindakan diambil kerana mereka juga boleh diambil tindakan seperti di`freeze’kan atau bekukan penyiarannya. Ini boleh dilakukan oleh Cyberjaya.

Gejala ini perlu ditangani dengan seberapa segera kerana ia kini dilihat umpama barah yang kian mempergaruhi rakyat Malaysia dan selagi blog sebegini terutamanya Malaysia-today. Net tidak diambil tindakan `freeze’ maka lebih banyak lagi blog-blog biadab akan lahir.

Kerana adat manusia, apa yang sudah ada pasti akan ditiru. Paling kurang pun, kononnya dijadikan inspirasi.. Adakah kita mahu melihat berlakunya kekecohan akibat daripada perkara sebegini menjejaskan keharmonian negara kita?

1 comment:

Anonymous said...

People should read this.