Wednesday, May 28, 2008

Tidak Iktiraf CYC, Bukti FAM Kian Bongkak

Dari sebuah badan bola sepak yang di segani, Football Association of Malaysia (FAM) kini dilihat semakin tidak releven. Kebanyakan tindakan mereka sejak akhir-akhir ini juga jelas memperlihatkan bahawa Badan Induk Bola Sepak Malaysia itu kian merapu dan mula tersasar daripada motif penubuhannya.

Sudahlah tidak mampu untuk memikul tanggungjawab yang diamahkan oleh rakyat dan Negara, FAM yang dibarisi oleh peneraju yang kurang professional juga lebih gemar menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menidakkan keupayaan pihak lain.

Walaupun tidak jelas mengapa tindakan sedemikian berakar umbi dalam FAM, namun tidak keterlaluan andai ditafsirkan bahawa banyak keputusan yang dibuat kebelakangan ini tidak lebih hanyalah untuk menyelimuti kelemahan yang ada pada mereka.

Terbaru, pertelingkahan kecil FAM dengan penganjur Piala Juara-Juara Remaja (CYC) berkaitan pengiktirafan kejuaraan yang bakal dianjurkan itu baru-baru ini, menjadi bukti bahawa Badan Induk Bola Sepak itu gemar bertindak mengikut perasaan. Dan, sering melemparkan kesalahan diri kepada pihak lain termasuk kepada penganjur kejohanan serta menempiaskannya kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said.

Sedar atau tidak, kenyataan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang menyatakan mereka tetap tidak akan mengikhtiraf kejohanan anjuran CYC itu kerana rasa dibelakangkan dan kononnya tidak membantu kepada peningkatan bolasepak Negara, secara tidak langsung telah menjadi pembuka pekung kepada kepincangan di dalam Badan Induk Bola sepak itu sendiri.

Yang menjadi persoalannya, adakah sidang wazir yang ada di dalam FAM sekarang ini benar-benar ikhlas memikul tanggungjawab untuk membangunkan bola sepak Negara. Kalau betul mereka ikhlas, mana mungkin mereka akan menghukum CYC sedemikian rupa.

Hanya kerana sedikit terluka kerana rasa dibelakangkan yang mana boleh ditafsirkan lebih kepada bersifat peribadi dan remeh, mereka sanggup menelanjang CYC dan Kementerian Belia dan Sukan dengan cara yang sangat halus.

Ini kerana, jika kejohanan ini tidak mendapat pengiktirafan dari Fifa sepertimana yang diharapkan ia pasti akan mengurangkan selera pasukan atau kelab-kelab luar untuk turut serta dalam pertandingan ini di masa akan datang dan lama kelamaan kejohanan yang rata-ratanya membariskan kelab-kelab terhebat serta tersohor dunia akan berkubur begitu sahaja.

Jawatankuasa Induk FAM sepatutnya bertindak lebih professional dan mengutamakan kepentingan peningkatan bola sepak negara tanpa ada rasa prejudis ataupun membiarkan isu remeh temeh seperti tersebut bersarang hingga menjurus kepada tindakan yang boleh merugikan banyak pihak.

Andai betul pun Gifted Group Limited (GGL) pernah membelakangkan FAM dalam penganjuran kejohanan tersebut, mereka (FAM) sepatutnya memaafkan GGL menganggap ia adalah satu kesilapan kecil yang masih boleh diperbaiki.

Selain usia masih muda dengan pengalaman (kerana baru sekali menganjurkan CYC), GGL pada tahun ini sanggup mengalah dan pergi menyembah FAM semata-mata untuk bekerjasama dengan Badan Induk Bola Sepak Malaysia bagi mendapat kelulusan Fifa melalui mereka.

Bagaimanapun oleh kerana sifat bongkak FAM, rundingan yang turut mewakilkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakub tidak mampu mengubah pendirian pihak jawatankuasa badan bola sepak itu.

Jika alasan yang kononnya kejohanan CYC tidak membantu kepada kebaikan bola sepak negara sepertimana yang dinyatakan oleh Presiden FAM baru-baru ini, ternyata mereka silap. Sama ada FAM terlupa ataupun buat-buat lupa yang hakikatnya bola sepak negara bermula sejak awal era 90an lagi tidak pernah pun menunjukkan sebarang peningkatan.

Pasukan Malaysia yang pernah berada sebarisnya dengan Pasukan Korea dan Arab Saudi serta pernah diletakkan dalam gred pertama pasukan terkuat asia, kini terpaksa menghuni tangga ke-169 dalam rangking dunia dan sekaligus jatuh ke kelas ketiga, dibelakang Singapura, Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Yang menjadi persoalannya sekarang, dimana kredibiliti FAM untuk menilai kejohanan CYC kononnya tidak membantu membangunkan bolasepak negara sedangkan mereka sendiri pun tidak pernah berupaya membuktikan bahawa bola sepak negara berada dilandasan yang betul?

Malah apa yang dapat dilihat hari demi hari, lebih-lebih lagi sejak era FAM dibawah pentadbiran Sultan Ahamd Shah, ia dilihat semakin parah. Adakah ini yang dikatakan berjaya membangunkan bola sepak negara sepertimana dibangga-banggakan itu?

Pelik bin Ajaib itulah yang boleh dirumuskan berkaitan kemelut yang dihadapi oleh badan induk bola sepak negara itu. Atau mungkinkah keputusan tersebut dibuat kerana turut dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang lebih banyak tersirat daripada tersurat?

Pada hemat saya, walau apa pun alasan FAM dalam isu ini tetapi yang pastinya kejohanan CYC juga penting kepada perkembangan bola sepak negara. Hasil usaha GGL dan idea mantan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Azalina Othman Said untuk mengadakan CYC seharusnya dipuji dan mendapat pembelaan dari semua pihak termasuk FAM sendiri.

Selain pemain kita mampu menimba pengalaman daripada pemain-pemain berbakat dari kelab-kelab tersohor dari serata dunia, setidak-tidaknya kejohanan ini dapat menghapuskan jurang rasa kecil yang sekian lama bersarang dalam diri pemain kita.

Paling tidak pun, kejohanan yang buat pertama kalinya diadakan pada tahun 2007 ini mampu dijadikan sindiran (sepertimana penubuhan Myteam) kepada pihak FAM yang selama ini dilihat masih gagal mencari formula bagi mengangkat taraf bola sepak negara. Walaupun dalam masa yang sama mereka dibekalkan dengan peruntukan serta kemudahan bertaraf antarabangsa.

Sunday, May 25, 2008

Kemelut politik UMNO Masih Boleh di Selamatkan

Bermula diperingkat kepimpinan tertinggi UMNO hinggalah ke kedai-kedai kopi, masing- masing dengan andaian dan rumusan sendiri tetang masa depan parti keramat bangsa Melayu itu yang semakin hari semakin berantakan hingga kadangkala membenihkan kebimbangan yang bukan sedikit dikalangan kita.

Keadaan ini secara tidak langsung memperlihatkan perpaduan dikalangan ahli UMNO khususnya sesama orang Melayu amat rapuh sekali. Pertelingkahan pendapat dikalangan pemimpin tertinggi terhadap pucuk pimpinan negara akhir- akhir ini memberikan gambaran seolah-olah kudis yang melekat pada UMNO selama ini sudahpun bertukar menjadi barah dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk membunuh induknya.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang terlepas pandang bahawa kemelut politik yang melanda UMNO akhir-akhir ini,masih boleh diselamatkan. Barah yang dikatakan bakal membunuh UMNO itu masih boleh di selamatkan melalui cara permuafakatan dan perbincangan.

Hanya dengan cara tersebut, semua krisis dalaman parti akan dapat ditangani dan secara tidak langsung UMNO akan kembali kuat dan disegani.

Semua ahli juga UMNO perlu melihat dengan mata hati dan minda yang terbuka dimana apa yang berlaku ketika ini adalah isu yang masih boleh diselesaikan, dengan syaratnya ia haruslah dilakukan melalui melalui konsep permuafakatan.

Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO juga dinasihatkan tidak perlu lagi menunding jari mencari salah sesiapa semata-mata untuk menegakkan pendapat mereka. Sebarang pertelingkahan peribadi antara mereka juga harus dicampakkan kedasar lautan agar ia tidak menjadi parasit yang akan menganggu keikhlasan rundingan tersebut.

Pada masa ini, semua ahli parti perlu memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan UMNO dan sedar atau tidak bahawa keadaan politik di negara ini hanya akan stabil kembali apabila parti itu tidak bergolak lagi.

Apabila keadaan politik stabil, ia akan memberi kekuatan kepada pucuk kepimpinan dan kerajaan untuk merancang serta melaksana program-program pembangunan untuk rakyat.

Juga perlu diingatkan, sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab untuk melihat Melayu kembali bersatu, UMNO kambali di hormati, janganlah sekali-kali kita cepat terpengaruh dengan taktik pakatan pembangkang yang sentiasa menabur pelbagai tohmahan ketika ini, lebih-lebih ketika UMNO sedang bergelut dengan pelbagai permasalahan seperti sekarang.

Rakyat khususnya penyokong BN seharusnya tidak mudah terperangkap dengan pelbagai spekulasi yang cuba dimainkan parti pembangkang ketika kemelut politik sedang melanda negara.

Kita juga jangan mudah tertipu dengan dakyah mereka yang kononnya, akan berlaku pertukaran kerajaan sedangkan BN masih berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti rakyat kerana kerajaan sedia ada sudah terlalu banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini.

Monday, May 19, 2008

Tindakan Tun Mahathir Keluar Parti Perangkap Buat Mukhriz

Tun Mahathir dah menyatakan pendiriannya untuk keluar parti. Satu keputusan dan pendirian yang sudah tentunya mengejutkan banyak pihak. Keputusan diluar dugaan dan jangkaan ini sudah tentunya akan memberi kesan secara langsung terhadap pertandingan diperingkat Pergerakan Pemuda.

Persoalannya apakah pendirian Mukhriz? Wajarkah beliau untuk sama-sama menjejaki jejak langkah ayahandanya? Ataupun beliau perlu mengambil keputusan untuk tetap bertanding memberi cabaran untuk jawatan tertinggi Pergerakan Pemuda.

Namun apa yang perlu menjadi ukuran adalah sebab utama seseorang itu menawarkan diri. Adakah disebabkan oleh tekanan ingin membela maruah orang tertentu? ataupun terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab yang tidak ditunaikan oleh kepimpinan terdahulu? Mukhriz sendiri mempunyai jawapan terhadap persoalan itu.
Mukhriz menjadi begitu popular dan dihormati atas 2 sebab utama. Pertamanya beliau adalah anak kepada mantan Perdana Menteri.

Keduanya pula Mukhriz terkenal dengan keberaniannya menuntut agar Presiden meletakkan jawatan atas alasan prestasi buruk pada pilihanraya yang lalu. Sebagai warga Pergerakan Pemuda saya ingin mengajak untuk kita sama-sama membuat penilaian. Adakah wajar bertunjangkan dua sebab utama tadi, beliau perlu menawarkan diri?
Sekiranya rakyat menunding menyalahkan Khairy yang dilihat tidak mungkin dapat menegur Perdana Menteri yang juga merupakan bapa mertua beliau sekiranya beliau diberi tanggungjawab sebagai ketua pemuda, kita juga perlu menerima kemungkinan bahawa Mukhriz juga mempunyai kemungkinan yang besar dijadikan buah catur bapanya melemparkan kritikan-kritikan pedas terhadap kepimpinan parti.

Pada hemat saya, Mukhriz tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk menawarkan diri bertanding untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Janganlah disebabkan emosi dan rasa tidak puas hati bapanya terhadap kepimpinan parti beliau bertindak menjadi panglima yang sama sekali tidak rasional dan bertindak diluar batasan pertimbangan.

Mukhriz perlu mempunyai sebab yang lebih kukuh untuk menawarkan diri.Beliau mungkin begitu popular dikalangan rakyat, tapi situasi mungkin tidak seperti yang disangkakan didalam UMNO. Nasihat saya, dugalah dulu dalamnya lautan sebelum memulakan langkah.

Wednesday, May 14, 2008

Wanita Bukan Milik Rafidah Seorang, Kenapa Azalina Harus Disekat?

Apa sebenarnya motif perjuangan Pergerakan Wanita UMNO yang kebelakangan ini dilihat bermati-matian sanggup mempertahankan ketua mereka, Datuk Seri Rafidah Aziz,hinggakan sanggup menidakkan keupayaan orang lain dan sekaligus cuba menutup terus pintu pencalonan muka-muka baru untuk menerajui kepimpinan sayap kiri UMNO itu.

Dengan pelbagai alasan dan tohmahan yang boleh dianggap kurang bijak dan agak keterlaluan, mereka sanggup menyusun propaganda berlapikkan finah dengan harapan asalkan ketua mereka yang sedia ada tidak akan ditentang atau diganggu-gugat oleh sesiapa.

Pada panglima-panglima perang lantikan Rafidah, semua individu yang bakal menghulurkan tangan untuk menerajui Pergerakan Sayap Kiri UMNO itu semuanya tidak berkelayakan. Jika ada yang cuba mencabarnya, mereka perlu dipancung terlebih dahulu sebelum ia melebarkan sayap pengaruhnya.

Walaupun pada hakikatnya, rata-rata mereka mahukan perubahan diperingkat pucuk kepimpinan dan menyedari bahawa ada di kalangan individu tersebut mempunyai kreadibiliti dan potensi untuk menyusung atur pergerakan wanita UMNO ke arah yang lebih baik.

Antara yang sering menjadi mangsa bahan belasahan pendekar-pendekar dalam wanita itu ialah Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Azalina Othman Said, yang sedikit masa lalu digembar-gemburkan oleh pihak media pernah berhajat untuk merebut kerusi `kekal' Rafidah Aziz itu.

Walaupun pada dasarnya menteri muda wanita yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Johor, itu tidak pernah sekalipun menyatakan hasrat tersebut secara nyata. Melainkan, kenyataan untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi yang disandangnya hingga kini.

Bagaimanapun, segala-galanya bermula setelah Mantan Ketua Puteri Umno itu diberikan penghormatan untuk merasmikan beberapa Mesyuarat UMNO Bahagian pada tahun lalu. Dan ia turut diperkuatkan pula dengan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee yang berhasrat untuk mencalonkan Azalina bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Bermula dari kenyataan terbuka Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras itu menyebabkan politik pergerakan Wanita UMNO Malaysia itu dilihat mula berserabut dan kelam kelibut. Rafidah dan bala tenteraanya dilihat mula kepanasan hingga sanggup menyelar tindakan Syed Ali itu disamping memperlecehkan kemampuan Azalina menerusi beberapa media tempatan.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan Malaysia yang ketika itu sebagai Menteri Belia dan Sukan tidak pernah sekalipun melatah dengan membuat kenyataan balas. Sebaliknya ketika diminta kenyataan balas oleh para wartawan, Azalina hanya sekadar menyuarakan hasratnya untuk mempertahankan kedudukan dalam Majlis Tertinggi UMNO sahaja.

Dari rentetang apa yang berlaku di atas, boleh disimpulkan bahawa dasar kepimpinan yang cuba diamalkan oleh Pergerakan Wanita yang di ketuai oleh Datuk Seri Rafidah Aziz ketika ini seolah-olah cuba menutup terus pintu wanita kepada orang baru terutamanya kepada bekas-bekas anggota puteri, antaranya mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dato' Sri Azalina Othman Said dan Dato' Noraini Ahmad.

Semua maklum yang sehingga kini Azalina tidak mendapat tempat dalam Exco Pergerakan peringkat pusat dan tidak diberi ruang sebagai AJK Wanita UMNO Negeri Johor. Datuk Seri Rafidah Aziz dan beberapa orang kuatnya terus sahaja melancarkan `perang' apabila Syed Ali menyatakan bahawa Ketua Wanita perlu ditukarkan dengan ketua baru.

Perkara ini pernah dinampakkan semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO yang lepas dimana beberapa Ketua Wanita Negeri memberi amaran mengatakan Syed Ali tidak boleh mencalonkan Azalina kerana beliau adalah ketua bahagian.

Kita percaya, tidak mustahi Wanita UMNO Bahagian Cheras akan mencalonkan Azalina bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti akan datang walaupun ketuanya Dato' Faridah Hassan merupakan proksi Rafidah.

Bagaimana sokongan ketua-ketua wanita bahagian lainnya kepada Azalina? Ternyata tindakan Syed Ali mendapat respon cukup baik dari 'silent majority' pergerakan itu. Selepas 'tindakan berani mati' mencalonkan Azalina kini rata-rata sedang menunggu respon Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Wanita UMNO akan ikut apa sahaja cadangan dan nasihat Pak Lah . Setakat ini ramai mengambil keputusan tunggu dan lihat. Ada kalangan segelintir Exco Wanita sudah menampakkan rasa bersetuju untuk menukar Rafidah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak pernah memandang sengkek kepada golongan muda seperti mana kata-kata dilontarkan oleh Datin Paduka Seripah Noli, Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO yang menyifatkan Azalina masih berhingus untuk menyandang jawatan ketua wanita.

Mempertikaikan Azalina serupalah kita mempertikaikan keputusan dan keupayaan Paklah yang melantik Azalina sebagai Menteri Belia dan Sukan dan kini diangkat sebagai Menteri Pelancongan Malaysia. Seolah-olah Pak Lah melantik menteri berhingus menjaga Kementerian Belia dan Sukan dan kini Menteri Pelancongan.

Adakah suara atasan wanita itu lupa bahawa Rafidah ketika dilantik oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebagai Senator ketika berusia 32 tahun juga boleh dikatakan pemimpin berhingus? Sama-samalah kita fikirkan dan kaji dengan mendalam kenyataan ini.

Memang kita akui tahap kebencian sesetengah pemimpin Wanita kepada Azalina tidak boleh dibendung lagi. Umpamanya Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique difahamkan pernah satu ketika dahulu pernah mengarahkan semua ketua-ketua wanita bahagian di negeri ini agar jangan memanggil Azalina untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian pada tahun tersebut.

Begitulah lebih kurang dasar menutup pintu Wanita Johor diterajui Halimah kepada Azalina. Kita berani mengatakan untung nasib Azalina selain ditentukan oleh Allah taala juga ditentukan oleh Pak Lah. Kalau Pak Lah tidak memberikan tempat kepada Azalina dalam kerajaan mustahil Malaysia mendapat 68 pingat emas dan tempat kedua Sukan Sea ke-24 di Thailand.
\
Kalau dilihat dengan mata hati, pemimpin yang dianggap berhingus oleh sesetengah orang inilah juga yang berjaya mengharumkan nama negara di bidang sukan dan kini semakin melonjakkan nama Malaysia dalam bidang pelancongan pula.

Dalam soal ini kita tidak bercadang untuk mengampu Azalina tapi mempersoalkan tindakan sesetengah pemimpin Wanita yang dilihat tidak jemu-jemu mempertikaikan kredibiliti Azalina. Walaupun mereka tahu apa yang berlaku itu hanya baru setakat cadangan sahaja.

Kalau Wanita masih mahu mengekalkan Rafidah sebagai ketua tiada siapa pun yang melarangnya. Terserahlah kepada para perwakilan yang akan menentukannya. Yang menjadi persoalannya sekarang kenapakah mereka (barisan Tertinggi Wanita) begitu ketakutan sekali apabila nama Azalina disebut.

Kalau ada ketua-ketua wanita bahagian mahu mencalonkan Azalina bertanding ketua wanita tiada siapa pun yang berhak melarang. UMNO itu bukannya milik sesiapa dan terpulang kepada sesiapapun yang mahu bertanding.

Tuesday, May 13, 2008

Kerajaan belanja RM2.2 bilion setahun kawal harga beras

Sedar atau tidak, setiap sesuap nasi yang dimakan oleh rakyat di negara ini telah disubsidi oleh kerajaan sejak dari dahulu lagi. Namun nilai subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akhir-akhir ini bagi menampung keperluan rakyat kini melonjak sehingga RM2.2 bilion setahun.

Pada dasarnya, kerajaan terpaksa memperuntukkan kira-kira RM923 juta setahun untuk subsidi baja padi, subsidi harga padi, insentif pengeluaran padi, insentif peningkatan hasil dan insentif pengeluaran benih padi.

Ini bermakna setiap seorang daripada 140,000 pesawah di Malaysia telah menerima subsidi dan insentif sebanyak RM2,656 bagi sehektar tanah sawah yang mereka usahakan.
Baru-baru ini, apabila para pesawah merungut input pertanian telah semakin mahal, kerajaan memperuntukkan dana tambahan RM549 juta untuk subsidi infrastruktur, penyuburan tanah dan racun rumpai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed pada sidang akhbar baru-baru ini juga menjelaskan bahawa subsidi untuk beras kini bukan setakat diberi kepada pesawah sahaja, tetapi turut dinikmati secara langsung oleh berjuta-juta pengguna di Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk subsidi pembelian beras import selain melaksanakan empat langkah tambahan menangani kenaikan harga padi dan beras.
Menurut Mustapa, inilah kali pertama dalam sejarah kerajaan memberikan subsidi kepada pengguna secara langsung bagi membolehkan harga beras yang dijual di pasaran lebih rendah daripada kos sebenar.

Beliau berkata, subsidi RM725 juta itu diberikan kerajaan bagi menampung kos mengimport 500,000 tan metrik beras hancur 15 peratus dari Thailand dalam usaha menambah stok penimbal beras negara.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan berapa harga pembelian beras import tersebut, tetapi satu laporan agensi berita dari Bangkok menyatakan bekalan beras itu dibeli oleh syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada harga AS$1,000 (RM3,100) setan metrik.

Katanya, beras hancur 15 peratus itu akan mula dibawa masuk secara berperingkat mulai dua minggu lagi sebelum dibungkus semula sebagai beras Super Tempatan (ST) 15 peratus untuk dijual kepada pengguna pada harga kawalan RM1.65 dan RM1.80 sekilogram.
‘‘Kita lakukan semua ini untuk memastikan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas ekoran krisis makanan global,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, beliau menjangkakan kerajaan mampu mengekalkan harga siling beras gred ST 15 peratus yang dikawal harganya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang.

‘‘Harga beras di pasaran dunia semakin stabil sekarang.

‘‘Dengan syarat, tiada sebarang perubahan yang berlaku dari segi cuaca atau malapetaka di negara pengeksport beras, Malaysia akan mempunyai bekalan beras yang mencukupi pada harga yang stabil menjelang akhir tahun ini,’’ katanya.

Mustapa memberitahu, subsidi kepada para pesawah tidak dapat dielakkan kerana faktor keselamatan makanan selain menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat yang berpendapatan rendah dilindungi.

‘‘Kita tidak boleh membiarkan mereka terjejas dengan kenaikan harga padi dan beras,’’ tegasnya.

Beliau menjelaskan, harga beras ST 15 peratus, misalnya, dikekalkan pada harga sedia ada dan dikawal bertujuan untuk memenuhi keperluan pengguna berpendapatan rendah.

‘‘Dengan mengekalkan harga ini, pihak pengilang swasta dan Bernas akan menampung perbezaan harga itu menerusi keuntungan pengeluaran beras gred-gred Super Spesial Tempatan (SST) lima peratus dan SST 10 peratus serta keuntungan daripada jualan beras import oleh Bernas,’’ ujar Mustapa.

Malah, katanya, langkah kerajaan memperluaskan kawalan harga beras kepada gred SST lima peratus dan 10 peratus adalah bagi melengkapkan strategi kawalan harga beras.

‘‘Kerajaan telah memberikan subsidi yang begitu besar kepada 140,000 pesawah padi. Inilah rasional tindakan kita menjadikan beras SST lima peratus dan SST 10 peratus barang kawalan dengan harga siling masing-masing RM2.70 dan RM2.80 sekilogram,’’ ujarnya.

Kerajaan, kata Mustapa, perlu mengawal harga beras gred lebih berkualiti itu bagi memberi justifikasi kepada subsidi berbilion ringgit yang dibayar kepada para pesawah.

Wednesday, May 7, 2008

Rugi Besar Kalau Azalina Dibunuh

Sebenarnya, saya sendiripun tidak tahu di mana harus saya mulakan tulisan ini. Perasaan bimbang dan tanggungjawab sering sahaja bertelingkah dalam benak fikir ini. Bimbang dituduh sebagai pembodek, pengampu ataupun paling tidakpun dengan gelaran “cybertroopers” Azalina.

Al-maklumlah dalam keadaan sekarang dan dalam suasana politik negara yang agak panas dengan pelbagai isu kebelakangan ini sudah pastinya ia turut memungkinkan ada pihak-pihak tertentu akan membuat tuduhan melulu dengan tafsiran yang kurang tepat serta jauh tersasar.

Namun atas rasa untuk menyuarakan rasa hati dan sekaligus mengudang pengertian dari semua pihak, saya terpaksa gagahi juga untuk mengatur bait-bait ayat ini hingga ke noktah terakhir walaupun menyedari berkemungkinan besar saya terpaksa berhadapan dengan cacian, ejekan, tohmahan dan sebagainya.

Tambah lagi, getusan minda yang saya paparkan di laman blog ini lebih memihak kepada seorang individu sahaja. Individu yang saya maksudkan ialah mantan Menteri Belia dan Sukan yang kini bergelar Menteri Pelancongan Malaysia, Dato’ Sri Azalina Othman Said yang satu ketika dikenali sebagai `panglima siber’.

Dengan mainan bahasa dan ayat yang teratur, kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu telah diadaptasikan oleh para wartawan dan “bloggers-bloggers” dalam usaha untuk meletakkan kesalahan kepada Menteri Pelancongan Malaysia, Dato’ Sri Azalina Othman Said sewaktu mengurus tadbir Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.

Tidak cukup dengan isu kewajaran meluluskan pusat sukan berprestasi tinggi di bangunan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), Brickendonbury, London, Menteri Pelancongan Malaysia turut disusuli dengan pelbagai isu lain lagi terutamanya yang berkaitan dengan kewangan dalam kementerian tersebut.

Bagaimanapun semua masalah yang dilihat bertali arus menghiasi dada akhbar dan blog termasuk di akhbar The Sun, dapat ditangani dan diatasi dengan baik. Kenyataan pihak Badan Pencegah rasuah, MSN, WSFFM dan beberapa pihak berkaitan turut menjadi bukti bahawa menteri wanita itu sebenarnya bebas daripada segala tuduhan penyelewengan tersebut.

Sebenarnya, isu di atas bukanlah perkara pokok yang mahu saya perbincangkan disini. Cuba paparan rentetan itu sekadar untuk mengajak pelayar semua mengimbas kembali isu ini semata-mata untuk sama merenung mencari jawapan apa helah sebenar disebalik kritis dalam mengkritik Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui oleh YB Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sekali imbas sudah pasti ramai yang menyangka ia adalah lumrah tetapi jika ditatapi dan disusuri secara mata hati sudah pasti pelayar semua akan menampakkan kilaunya. Mungkin juga anda semua bersependapat dengan saya dan menganggap isu tersebut telah dicipta dan dirancang dengan bagitu teliti oleh individu tertentu.

Walaupun gagal menterjemah maksud sebenar disebalik `rancangan licik itu’ tetapi hemat yang dapat disimpulkan, semuanya adalah dalam usahanya untuk memerangkap Azalina ke penjara bersalah dan sekaligus merundumkan kreadibiliti beliau sebagai pemimpin kreatif dan bermotivasi.

Yang menjadi persoalannya, siapakah dalang utama dalam mencipta retorik dongengan tersebut. Dan, apakah kepentingan individu tersebut hingga sanggup `berkonspirasi’ sedemikian rupa... ? Itulah persoalan besar yang masih belum terungkai jawapannya sehingga kini.

Ada desas desus yang cuba mengaitkan Menteri Belia dan Sukan yang baru iaitu Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam kes ini. Jika benarlah Datuk Ismail Sabri terlibat, apakah motif sebenar beliau berbuat demikian?

Mungkin juga ia bermula dengan perasaan cemburu dengan kejayaan yang pernah dicipta oleh Dato’ Sri Azalina dalam Kementerian Belia dan Sukan dan merasakan dia tidak mampu untuk menyainginya...Sebab itulah dia cuba bertindak mencari kesilapan Azalina dengan harapan beliau tidak akan dipersalahkan jika gagal menyaingi kejayaan Azalina.

Kalau tidakpun, mungkin juga dia (Ismail Sabri) ada agenda serta pakatan sulit untuk menjatuhkan Dato’ Azalina sepertimana yang pernah berlaku kepada seorang bekas ahli perliman dari Johor.Desas-desus kononnya beliau juga turut terlibat dalam pakatan tersebut, wallahualam...

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang beranggapan bahawa apa yang berlaku kepada Dato’ Sri Azalina itu sebenarnya bertitik tolak dari rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kononnya, untuk melemahkan pengaruh Perdana Menteri, mereka perlu melancarkan perang psikologi terhadap panglima perangnya dahulu. Atau dengan lain perkataan mantan Menteri Belia dan Sukan perlu dihancurkan terlebih dahulu kerana Dato Sri Azalina sekarang ini di lihat sebagai penglima yang paling ampuh dan kem Presiden UMNO itu.

Dan yang terbaru sekali, ada desas-desus yang mengaitkan lakaran skrip jahat yang berpaksikan untuk menjatuhkan Azalina itu sebenarnya telah dicipta oleh pihak-pihak tertentu dalam Wanita.

Ironinya mudah sahaja... Ia sebenarnya bertujuan untuk menafikan kemampuan Azalina sebagai pemimpin yang paling layak untuk menerajui Pergerakan Wanita Umno ketika ini. Pada mereka, dengan tersebarnya isu korapsi ciptaan mereka itu sedikit sebanyak ia mampu melunturkan keyakinan wanita yang pernah berhajat untuk mencalon dan seterusnya menyokong Ahli Parlimen Pengerang ini dalam Pemilihan Agong UMNO Disember nanti.

Dengan erti kata lain, mereka kini dihantui oleh bayang-bayang mereka sendiri. Sedangkan Bekas Ketua Penaja Pergerakan Puteri Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mencabar jawatan tertinggi dalam Pergerakan Wanita itu.

Apapun alasannya namun yang pasti adalah menjadi satu kerugian besar jika kerjaya politik Dato Sri Azalina cuba dinafikan. Ini kerana, beliau dilihat sebagai seorang pemimpin muda yang berkarisma dan berkemampuan.

Malah, tiada siapa yang dapat menafikan kegagahan dan kejayaan Azalina sebagai pemimpin UMNO. Jika ada pertikaian tentang keupayaannya hanyalah datang dari mereka yang iri hati dengan kejayaannya selama ini atau mungkin juga daripada pihak parti pembangkang sahaja.

Jika disingkap sejarah Dato’ Azalina sekalipun, sudah pasti ramai yang mengakui bahawa kejayaan beliau mencipta kedudukannya sekarang, banyak bergantung kepada kemampuan dan keupayaannya membuat kerjanya dan bukan berumpankan `gimik populariti’ politiknya.

Hentikan Perang Pendapat

Saban hari, ada sahaja pendapat yang disiarkan oleh media sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut meletakkan jawatan atau sebaliknya. Yang berpendapat patut meletakkan jawatan mahu ia disegerakan manakala yang lainnya mencadangkan dilakukan secara perlahan-lahan atau melalui pemuafakatan.

Saya rasa, sudah cukuplah setakat itu pelbagai pendapat yang diberikan. Sebenarnya boleh disimpulkan bahawa hanya ada dua pendapat sahaja iaitu pertama Pak Lah letak jawatan segera dan keduanya peralihan kuasa secara licin setelah kemelut UMNO diselesaikan.

Yang berbeza hanyalah pihak yang memberi pandangan. Mereka yang menyokong Pak Lah mahu beliau dikekalkan manakala mereka yang sehaluan dengan Tun Dr. Mahathir atau Datuk Seri Najib Tun Razak, kalau boleh, esok pagi Pak Lah letak jawatan.

Umpamanya, Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Andika Ujang memang dikenali sebagai penyokong kuat Dr. Mahathir manakala Pengerusi Veteran UMNO, Tan Sri Tajuddin Ali pula penyokong Pak Lah. Jadi kita boleh fahamlah pendirian masing-masing.

Kalau pihak media terus-menerus mendapatkan pandangan pelbagai pihak, pandangan sedemikian jugalah yang akan diperolehi. Kesudahannya, kita hanya sibuk membincangkan dua tajuk melibatkan satu perkara sahaja iaitu letak jawatan segera atau lambat.

Orang lain iaitu parti pembangkang, senyap-senyap dah buat perancangan lain. Mereka nak tawan semua negeri kecuali Johor yang nak dijadikan muzium UMNO. Sakit hati mendengarnya, tetapi orang UMNO masih sibuk mengenai kedudukan Pak Lah.

Jika demikian halnya, orang UMNO asyik sibuk dengan perkara itu, sehinggalah suatu hari nanti, UMNO akan hanya tinggal sebagai sejarah sahaja. Sesuai sangatlah dimasukkan ke dalam Muzium UMNO di Johor.

Bermula daripada Tun Dr. Mahathir hinggalah ke pencacai di kedai kopi, berpindahlah kepada tajuk lain. Dulupun sibuk sangat nak minta Tun Dr. Mahathir letak jawatan. Selepas 22 tahun, beliau letak dan kita beria-ia sangat kita nakkan Pak Lah.

Dah dapat Pak Lah, nak tukar lagi. Esok, dapat Datuk Seri Najib, entah berapa hari pula minta tukar dengan Tan Sri Muhyddin Yassin pula. Orang UMNO asyik sibuk tukar pemimpin, parti lain dah nak tukar kerajaan!

Sunday, May 4, 2008

UMNO kesal Karpal, Koo Ham cabar titah Sultan Perak

Pemimpin UMNO di Perak hari ini kesal dengan perbuatan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencabar titah Sultan Perak dengan mengeluarkan kenyataan bahawa sultan tidak berhak melantik semula pegawai kerajaan termasuk di Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manong, Datuk Ramly Zahary berkata, pandangan itu tidak benar kerana telah wujud konvensyen antara kerajaan negeri dan istana membabitkan pentadbiran agama Islam di Perak.

''Pihak istana berhak menentukan arah tuju peraturan agama Islam negeri berlandaskan konvensyen itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang memetik Karpal Singh sebagai berkata, sebarang kenyataan yang dibuat oleh Sultan Perak perlu mendapat nasihat daripada pegawai undang-undang dan sultan tidak berhak untuk memecat atau menukar mana-mana pegawai kerajaan termasuk di JAIP.

Kelmarin, Sultan Perak, Sultan Azlan menitahkan pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury ditarik balik.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry Selasa lalu telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Sementara itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendesak anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang diterima oleh Koo Ham ditarik balik memandangkan sikap kurang ajar pemimpin DAP itu mencabar titah Tuanku Sultan Azlan Shah.

Katanya, kedaulatan raja mengatasi kedaulatan DAP yang mahu 'mengDAPkan' Perak.
''Gunakan kedaulatan istana untuk mengajar Pengerusi DAP Perak yang melanggar bahasa terhadap Tuanku Sultan Perak," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, Datuk Najmudin Elias Al-Hafiz pula berkata, sepatutnya DAP lebih menyedari bahawa kerajaan negeri kena bertindak membela rakyat dan menyanjung tinggi kedaulatan raja berperlembagaan.

Katanya, kalau terhadap tuanku sultan pun pemimpin DAP boleh membantah, apatah lagi rakyat biasa.

''Mereka tidak boleh anggap diri mereka masih pembangkang. Di mana janji mereka selama ini yang mahu menjadi kerajaan yang berhemah, beretika dan patuh kepada arahan tuanku sultan?

''Sikap DAP sebegini akan menimbulkan kemarahan rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu.

"Jangan suka mencari dan menyalahkan orang lain. Sepatutnya mereka mencari jalan untuk memajukan negeri seperti yang dijanjikan," kata Najmudin.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, Sultan Azlan mempunyai hak di sisi perlembagaan negeri dalam konteks hal ehwal agama Islam negeri.

Katanya, telah bertahun-tahun segala urusan berkaitan dengan adat resam dan agama Islam perlu dirujuk dan diperkenankan oleh sultan.

''Karpal Singh tiada hak bagi memberi apa jua pandangan. Ingat, Sultan Perak pernah jadi Ketua Hakim Negara.

''Jangan Karpal lupa akan sejarah Perak dan jadi seperti JWW Birch," katanya.

Zainol Fadzi mencabar Mohammad Nizar selaku Menteri Besar supaya menyatakan pendirian sama ada bersetuju dengan kenyataan kedua-dua pemimpin DAP tersebut.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, Pemuda UMNO memberi amaran kepada Karpal Singh supaya jangan mempertikaikan adat resam orang Melayu dan agama Islam.

''Kita akan pertahankan kedaulatan dan hak orang Melayu ini," katanya.

Beliau juga membidas Koo Ham kerana turut membuat kenyataan berbau perkauman yang meminta mana-mana pegawai kerajaan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan baru supaya meletakkan jawatan.

''Kenyataan itu berbau perkauman kerana 80 peratus daripada pegawai kerajaan Perak adalah orang Melayu," katanya.

Memancing Mampu Tarik Pelancong-Azalina

Kementerian Pelancongan bersedia membantu penganjur yang berhasrat mengadakan pertandingan memancing peringkat antarabangsa di perairan negara ini dengan memperhebatkan promosi di seluruh dunia.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau yakin pertandingan seumpama itu akan menarik lebih ramai pelancong asing kerana aktiviti memancing kini semakin digemari.

Beliau berkata, pihak kementerian tidak menghadapi masalah untuk membantu mempromosikan pertandingan itu, dengan syarat penganjur membuka penyertaan ke peringkat antarabangsa.

"Antara kegagalan kita dalam melaksanakan sesuatu aktiviti sebelum ini ialah kurangnya promosi khususnya di peringkat antarabangsa dan saya nampak potensi besar aktiviti memancing ini untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

"Menyedari perlunya promosi yang hebat untuk menjayakan sesuatu aktiviti, kementerian bersedia membantu penganjur pertandingan memancing peringkat antarabangsa yang diadakan di negara kita.

Aktiviti memancing kini menjadi daya tarikan utama pelancongan di beberapa negara seperti yang dilaksanakan di China, Australia, Kanada malah di Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan 800 peserta Kategori Laut Dalam, Pusingan Pertama Karnival Grand Prix (GP) Joran 2008 di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Sedili, di sini, semalam.

Azalina berkata, pertandingan anjuran Berita Harian yang mencecah edisi ke-11 itu berpotensi untuk dijadikan acara besar-besaran dan dimasukkan dalam aktiviti kalendar pelancongan.

"Saya tertarik apabila difahamkan ramai peserta dari negara jiran khususnya Singapura menyertai pertandingan kali ini.

Sementara itu, Azalina berkata, Kementerian Pelancongan bertekad untuk memajukan industri pelancongan produk homestay dengan menambah program antara 20 hingga 30 kali ganda di seluruh negara.

Katanya, hingga kini ada 137 kampung membabitkan 2,746 pengusaha homestay di seluruh negara dan angka itu dilihat masih tidak mencukupi jika potensi industri pelancongan negara diambil kira.

Friday, May 2, 2008

Ahli Parlimen perlu lebih sopan

Orang ramai kecewa dengan cara ahli Parlimen berdebat di Dewan Rakyat semalam yang dianggap sebagai memalukan.

Menurut mereka, ahli Parlimen perlu berhemah semasa berhujah lebih-lebih lagi apabila sidang Dewan Rakyat sekarang disiarkan secara langsung oleh RTM.

Mereka berkata, sikap itu penting kerana setiap perlakuan dan bahasa yang dipertuturkan akan diamati oleh rakyat negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati rata-rata mereka melahirkan kekecewaan berhubung perbuatan ‘memalukan’ yang dilakukan oleh segelintir ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Seorang juruteknik, Mohd. Arshad Putih, 40, berkata, ahli Parlimen perlu bersopan santun ketika berhujah kerana ia mencerminkan peribadi mereka.

‘‘Kalau wakil-wakil rakyat ini terus bersikap seperti tidak bertamadun, maka rakyat akan menyesal memilih mereka.

‘‘Jadi pelihara peribadi dan pertuturan kerana ia dinilai oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

Mohd. Arshad bagaimanapun bersetuju agar persidangan itu terus disiarkan secara langsung oleh RTM.

Ibrahim Jantan, 49, pula memuji langkah RTM mengadakan siaran langsung persidangan itu kerana ia ‘membenarkan’ rakyat mengetahui isu-isu terkini dalam negara.

Namun, katanya, ahli-ahli Parlimen perlu menuruti segala adab dan peraturan Dewan Rakyat seperti berdiri ketika mengaju dan menjawab soalan.

‘‘Saya hairan ada sesetengah ahli Parlimen bersuara seperti mahu jadi ‘hero’. Semasa bersidang, mereka harus bersopan dan mengikut giliran yang ditetapkan, jangan sampai jadi kecoh.

‘‘Jadi, saya harap peraturan Dewan Rakyat diperketatkan dan mana-mana ahli Parlimen yang gagal mematuhinya patut diminta keluar agar ia dapat disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Kadir Mohaideen, 42, pula berpendapat, siaran langsung sidang Dewan Rakyat itu patut diteruskan kerana ia memberi banyak manfaat kepada semua penduduk di negara ini.

Kadir berkata, perjalanan persidangan itu secara langsung di televisyen memberi banyak maklumat kepadanya dan orang ramai.

Semasa sidang Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menggelarkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin sebagai bigfoot.

Bung Mokhtar kemudiannya membalas dengan menggelarkan Karpal sebagai big monkey.