Wednesday, August 22, 2007

KONTRAK SEBUAH KEMERDEKAAN

Bila Tun Razak mula mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau memulakan era baru kepada perjuangan kemerdekaan. Katanya, kemerdekaan politik dah selesai, sekarang kita masuk fasa kedua, iaitu mencari kemerdekaan ekonomi pula. Tanpa kemerdekaan ekonomi, makna kemerdekaan politik akan menjadi kosong.

Kemerdekaan bukan sekadar kepada pilihan raya untuk memilih kerajaa atau bukan sekadar kepada lagu kebangsaaan dan kibaran bendera kita sendiri. Ia mengenai keupayaan kita menguasai sepenuhnya apa yang kita miliki.

Melayu tidak akan ke mana kalau sepanjang masa kita terpaksa mengucapkan kata-kata menghapuskan kemiskinan dikalangan masyarakat kita. Kata-kata ini nampaknya tiada berkesudahan. Bahkan orang akan dapat melihat kemiskinan itu sudah menjadi tembok tempat orang melayu berlindung untuk mendapatkan pelbagai keistimewaan.

Benar kemiskinan itu penyakit, Namun penyakit itu lebih banyak dihati dan bukannya ditubuh kita. Sekiranya kita percaya kemiskinan itu meletakkan kita lebih hampir ke kufuran, tidak ada orang Melayu yang mengaku dia miskin. Orang melayu yang kuat agama Islam sudah pasti tidak sanggup dilihat hampir menjadi kafir.

Sepatutnya tidak ada orang Melayu yang meminta-minta kerana yang meminta- minta itu adalah tanda penyakit miskin yang tidak patut dibanggakan. Sebagai penganut agama Islam, masyarakat melayu sepatutnya menjadi masyarakat pemberi kerana dengan menjadi seorang pemberi sahaja ia lebih hampir dengan tuhan.

Ramai yang sudah kaya tetapi tidak sanggup menjadi pemberi. Untuk menjadi seorang yang dirinya kaya tidak sesukar untuk menjadikan seseorang yang hatinya kaya. Ketika ini ramai yang menjadi kaya serta merta kerana mendapat kawasan balak ataupun mendapat kontrak kerajaan. Selepas itu mereka meminta lagi. Setiap hari kita lahirkan orang yang kaya tetapi hatinya miskin.

Ajaran kita selalu mengigatkan,tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Amalan memberi sepatutnya menjadi asas utama kepada ibadat kita.

Mengubah cara berfikir yang membudaya dalam masyrakat kita ini bukan sekadar tugas seorang pendakwah yang boleh memberi tafsiran yang betul kepada ajaran Islam. Ia menuntut kepada perubahan watak keseluruhan orang melayu itu sendiri.

Perubahan watak tak akan berlaku dengan hanya memberi mereka kekayaan. Ramai yang sudah kaya tetapi masih meminta-minta. Ramai yang sudah kaya tetapi diperolehi melalui tipu muslihat untuk menambahkan kekayaan.

Mengubah budaya dan cara berfikir masyarakat kita menjadi asas kemajuan negara kepada pembinaan golongan kelas menengah yang besar. Mereka tidak semestinya seorang jutawan, tetapi golongan yang berpendidikan, professional dan memiliki watak baru yang mampu bersaing, bersemangat untuk memberi dan boleh diketengahkan dalam apa jua suasana.

Pengambil semula hasil minyak melalui penubuhan PETRONAS, atau ladang-ladang,lombong-lombong kita yang dikuasai oleh syarikat asing dipertengahan 70an, bukan sekadar manifestasi kepada semangat memerdekakan sektor ekonomi kita, tetapi lebih pada itu.

Untuk mengendalikan semua sektor ini menuntut kita menyediakan pelbagai kepakaran dalam semua bidang. Kita mesti ada pelbagai jenis jentera, akauntan, doktor, pelbagai pegawai pemasaran dan pengurus dan mereka inilah yang memenuhi komposisi golongan kelas menengah yang diharap dapat mengubah budaya orang Melayu keseluruhannya.

Madus operandinya mudah. Kuncinya ialah pada pendidikan. Sejauh mana kita dapat mendidik dan melatih seberapa ramai anak-anak kita. Sejak itu kita mendengar pelbagai jenis biasiswa. Biasiswa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Biasiswa Petronas, biasiswa Bank Bumiputra, biasiswa Bank Negara dan pelbagai lagi yang kita dengar.

Siapa yang mahu belajar, belajarlah setinggi mana dan pergilah kemana sahaja yang mahu. Memberi pelajaran kepada orang Melayu adalah tuntutan perjanjian Kemerdekaan yang menjadi asas perlembangaan kita hari ini.

Universiti dalam negara tak cukup tetapi pastikan kualitinya terbaik. Golongan akedemik lebih banyak diberikan kebebasan dalam menentukan arah tujunya sendiri. Guru, pensyarah dan lebih-lebih lagi professor berada dalam kelasnya tersendiri yang sentiasa disanjung tinggi.
Kecemerlangan akedemik dilihat saling seiring dengan kebebasan akedemik itu sendiri.

Pengaruh politik dalam akademik mestilah ada hadnya. Ia sekadar untuk menjamin kestabilan dan tidak menyalahgunakan institusi murni. Benar ada kawalan untuk mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman sempit atau lain-lain unsur yang boleh menghancurkan negara. Namun peraturan yang ada tidak boleh dilihat untuk mempertahankan kuasa atau melindungi mereka yang menyalah gunakan kuasa .

Bahkan lebih buruk lagi sekiranya ia berlaku dalam institusi pengajian yang bergelar universiti. Menara yang dibuat dari gading mencerminkan kemurnian tinggi dalam sesuatu negara. Ia lambang segala jenis idealisme yang perlu diterapkan dalam masyarakat dan budaya kita.

Pengaruh politik yang keterlaluan dalam pusat-pusat pengajian kita akhirnya boleh menyebabkan nasib yang menimpa pasukan bola sepak kita akan menimpa institusi pengajian kita. Kita mungkin juara kampong kerana melahirkan ramai anak-anak yang mendapat banyak A, tetapi terus kecil apabila bersaing dengan orang lain.

Matlamat Tun Razak untuk melahirkan kelas menegah yang berpewatakan besar mungkin tidak akan tercapai sekiranya graduan yang kita lahirkan masih bergantung kepada wakil-wakil rakyatnya untuk mendapatkan pekerjaan. Bagi anak-anak ini pula, ia tidaklah sesuatu yang menghairankan, sekiranya mereka turut melihat banyak jawatan penting dikalangan professional merekapun, diperolehi melalui sokongan politik bukannya atas kecemerlangan akademik.

Dasar Ekonomi Baru adalah sebahagian daripada pakej ini. Ia bukan dilihat dari kacamata agenda Melayu yang sempit. Ia adalah agenda nasional yang lebih besar. Kesan dan hasilnya bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun dasar ini dilihat gagal mencapai matlamat sepenuhnya, tetapi ia telah memberikan wajah baru kepada negara ini. Iaitu kenyakinan rakyat bahawa, walaupun kita berbilang kaum, tetapi kecemburuan kaum tidak langi diasaskan kepada pengtakrifan ekonomi. Kita lebih bernasib baik. Dasar inilah yang melindungi kita dari terjebak ke dalam perbalahan kaum sewaktu krisis kewangan tahun 1997 dahulu.

Perbalahan ini berlaku di Indonesia, tetapi tak berlaku disini. Tanpa Dasar Ekonomi Baru (DEB), mungkin apa yang berlaku ditahun 1969 berulang lagi di negara kita.

Keyakinan inilah yang membolehkan kita menjaja keluar negara tentang model Malaysia sebagai sebuah negara yang dipandang harmoni. Lebih-lebih lagi hari ini, punca konflik dunia tidak lagi pada perbezaan idealogi, tetapi mengenai pertelagahan etnik, budaya dan tamadun. Bahkan apa yang berlaku di bumi Palastin dan Iraq hari ini menunjukkan mereka yang memiliki perasaan etnik, agama, bahasa, budaya dan tamadun pun turut berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain.

Sekarang, orang memandang tinggi negara yang bernama Malaysia. Ciri-ciri masyarakat pemberi semakin timbul pada hari ini. Disamping kerajaan, kita lihat banyak kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang bergerak di dalam dan di luar negara memberi sumbangan dalam pelbagai kerja kebajikan di tempat-tempat yang memerlukan.

Ramai yang melihat dan menganggap kita sebagai rakyat yang bernasib baik. Tetapi hakikatnya untuk mendapat apa yang capai sekarang menuntut kepada suatu perjuangan yang pahit kerana ia telah melalui jalan yang amat sukar.

Apa yang dinikmati sekarang ini, sepatutnya dihargai bersama. Bukan hanya orang Melayu tetapi semua kaum. Hari ini kita dipandang harmoni, tetapi ia boleh musnah begitu sahaja kalau kita tidak mempertingkatkan keharmonian ini didalam erti kata yang sebenar.

Melayu yang dilihat mendapat sedikit kemudahan perlu sedar, perlindungan yang ada pada mereka hanyalah sekadar jaring keselamatan agar tidak jatuh tersembam dalam perjalanan kehidupan ini. Untuk maju, mereka tidak boleh bergantung kepada jaring itu selama-lamanya. Mereka mesti kehadapan mengatur langkah sendiri untuk naik setinggi-tingginya menyahut cabaran global.

Hambatan global melalui AFTA, WTO dan pelbagai perjanjian perdangan bebas semakin menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu semakin kurang kebergantungannya.

Bukan Melayu pula tidak boleh melihat sedikit perlindungan yang diperolehi orang Melayu ketika ini sebagai alasan untuk memandang rendah bangsa pribumi ini. Sebaliknya mereka mesti turut membantu agar Ekonomi orang Melayu cepat mencapai kedudukan yang setaraf dengan mereka.

Sosial kontrak yang dipersetujui bersama oleh mereka yang mengasaskan negara ini, mesti dihormati. Ia berkaitan dengan pengorbanan kaum untuk menerima kaum lain menjadi sebahagian dari anggota mereka yang besar. Tanpa menghormatinya, tidak mungkin keamanan yang dinikmati bersama ini dapat dikekalkan selama-lamanya.

Tuntutan orang Melayu selama ini tidak pernah keterlaluan. Orang Melayu itu sendiri adalah kaum yang sangat akomodatif sifatnya. Melayu tidak keluar dari negara mereka secara beramai-ramai. Kalau ada yang berhijrah mereka tidak tuntut negara yang mereka duduki dengan pelbagai tuntutan agar orang di negara itu mengikut selera orang Melayu. Sebaliknya mereka akan menyesuaikan diri dengan suasana setempat.

Di Malaysia pun apa yang orang Melayu cuba mempertahankan amatlah sederhana sekali. Agama, bahasanya, hormat orang pada raja-rajanya dan simbul-simbul yang dikaitkan dengan maruah orang Melayu itu. Banyak perkara itu bersifat sejarah dan kecintaan kita dalam mengekalkan tradisi yang diamalkan oleh rakyat negara ini sejak turun-temurun.

Dalam konteks Malaysia, sejarah kemerdekaan kita adalah sejarah orang Melayu bangkit mempertahankan hak dan maruah bangsa mereka. Inilah sejarah nasionalisme Melayu. Tanpa semangat Nasionalisme Melayu ini, mungkin kemerdekaan yang dinikmati hari ini tidak akan tercapai.Nikmat ini bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi juga untuk orang bukan Melayu.

Atas faktor inilah orang Melayu sentiasa berasa ia lebih berhak dalam menentukan apakah itu pengiktirafan negara bangsa Malaysia yang berasaskan bangsa Melayu. Ini termasuk kepada budaya, bahasanya dan adat resamnya. Ini juga termasuk hak mereka untuk dilihat tidak ketinggalan dalam semua lapangan ekonomi dan sosial. Seharusnya soal ini tidak patut di pertikaikan…

No comments: