Wednesday, August 22, 2007

TIDAK WAJAR TUN PERTIKAIKAN PAK LAH

Akhir-akhir ini Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammed, dilihat begitu lantang mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai peneraju negara. Di mata Tun, apa yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri ke lima itu lebih banyak jelik berbanding elok.

Terbaru sekali, dalam syarahannya pada program anjuran Majlis Prihatin Malaysia (Prima) di Yayasan kempimpinan Perdana, Putra Jaya baru-baru ini, beliau tidak terkecuali mengulangi beberapa isu yang sama termasuk berkaitan rasuah, ekonomi, soal jambatan bengkok, WPI dan sebagainya lagi.

Boleh dikatakan, hampir semua isu yang meniti dibibir Tun dalam ucapan tersebut lebih kepada untuk memercitkan gambaran kegagalan bekas sahabat baiknya itu dalam mentadbir negara dan sekaligus cuba mempertikaikan kredibiliti Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Malah, beliau juga turut menyeru agar orang Melayu supaya tidak lagi memberi sokongan kepada pemimpin negara hari ini (Pak Lah) yang disifatkan telah banyak melakukan kerosakan, kelemahan dan yang membiarkan amalan rasuah terus berleluasa kebelakangan ini.

Begitupun beliau mahu UMNO kekal sebagai kerajaan yang memerintah negara, sambil meletakan keputusan kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang boleh menggantikan pemimpin yang ada hari ini.

Namun yang menjadi persoalannya, apakah yang kewajarannya beliau terus membangkitkan atau mempertikaikan kepimpinan Pak Lah dalam waktu-waktu negara sedang melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijangka akan diadakan dalam masa yang terdekat ini?

Kalau betul beliau sayangkan UMNO dan mahukan parti orang Melayu terus kekal sebagai pemerintah, mana mungkin beliau sanggup mengeluarkan isu-isu yang berkaitan. Kerana, isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun itu secara tidak langsung mampu menyusutkan sokongan terhadap UMNO dan sekaligus membuka ruang kepada pembangkang khususnya Pas dan Keadilan memenangi PRU yang akan datang.

Lainlah kalau dia membangkitkan isu tersebut selepas pilihan raya nanti, mungkin alasannya untuk membetulkan UMNO dan pemimpin boleh diterima pakai. Kerana untuk memilih pucuk pimpinan yang baru dalam UMNO ia perlulah dilakukan dalam peringkat pemilihan dalam Persidangan agong UMNO yang dijangkakan akan diadakan selepas pilihan raya umum nanti.

Yang menjadi persoalannya, apakah semasa pemerintahan TUN dahulu bebas dari amalan rasuah? Budaya menyokong parti UMNO dan BN membabi buta sepertimana yang disifatkan TUN jika diletakkan tunggul kayupun sebagai calon UMNO, mereka akan pangkah UMNO tidak wujud semasa pemerintahan beliau?

Andai tiada, mana mungkin istilah yang bermain dibibir ahli Pas ketika itu yang menyifatkan kalau lembu pun andai dipakaikan baju BN, pasti orang UMNO akan pangkah BN.
Begitu juga dengan isu rasuah… Adakah semasa kerajaan dibawah pimpinan Mahathir dahulu bebas daripada rasuah?

Terimalah hakikat bahawa negara dibawah pemerintahan Mahathir juga tidak terkecuali dari soal rasuah. Rasanya tidak perlulah diperincikan satu persatu…Cukup kalau dikatakan terlalu banyak rasuah berlaku ketika zaman Tun dan hinggakan popularnya istilah `korupsi’ dan sebagainya.

Budaya hulur wang dan kain pada pilihan raya-pilihan raya kecil ketika itu. Kalau tidak masakan rakyat Kelantan ketika itu mampu membuat satu istilah iaitu bilo orge UMNO bagi pitih kito ambik, tapi bilo pakoh, kito pakoh bulae dan banyak lagi…

Semua itu berlaku ketika pemerintahan Tun dan mengapa beliau membisu dan tidak bertindak! Andainya hendak dibandingkan isu rasuah yang cuba dibangkitkan TUN yang bernilai suapan sebanyak RM200 (itupun tiada bukti yang kukuh) untuk memastikan dia kalah di Kubang Pasu sebagai amalan yang cukup membara..Ternyata beliau silap.

Amalan rasuah pada pemerintahan UMNO sekarang yang kebetulannya kini dibawah pentadbiran Pak Lah itu sebenarnya merupakan budaya turun temurun yang juga diamalkan kuncu-kuncu TUN sejak pemerintahan beliau dahulu lagi?

Tun juga dilihat orang yang bertanggung jawab mencipta kedudukan kekal sebagai Presiden Parti dengan memperkenalkan 10 kerusi percuma kepada presiden. Dengan cara ini sahaja, Tun mampu untuk kekal lama dan tiada siapa yang akan berani melawannya.

Harapannya, semoga kedudukannya sebagai presiden parti UMNO dan Perdana Menteri tidak dapat ditentang oleh orang lain. Dan, ciptaannya itulah yang memerangkapnya kembali…

Tuduhan beliau terhadap Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai ditaktor juga tidak ubah seperti menceritakan perihal dirinya sendiri. Malah, dia dikatakan bertindak lebih teruk dari itu…Ini semuanya terbukti.

Semasa erra Tun juga, dia didapati sering membunuh orang atau pemimpin yang tidak sependapat dengannya termasuklah tiga orang Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (kecuali Anwar sahaja yang dikatakan mempunyai sebab yang kukuh dan munasabah).

Kalau tidak masakan dia telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang begitu jelik dan menjijikan sekaligus menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin ` ditaktor, maha zalim, maha firaun dan sebagainya lagi.

Melihatkan apa yang berlaku, tidak keterlaluan andai dikatakan bahawa tindakan Tun itu sebenarnya bukanlah berasaskan perjuangan untuk kepentingan UMNO. Sebaliknya, ia lebih bersifat keperibadian dan mempunyai agenda yang tersirat.

KPMU.net juga berkesempatan menemubual beberapa orang wakil rakyat dan tokoh-tokoh tertentu mengenai pandangan peribadi mereka terhadap kenyataan Tun tersebut. Berikut adalah kenyataan komen-komen mereka:-

YB. HAJI ALI BIN MOHAMAD (Adun Tanjung Puteri)

Mengenai orang UMNO tunggul kayu Beliau berpendapat UMNO sebenarnya terdiri dari pada 2 bahagian iaitu orang UMNO dan ahli UMNO.

Orang UMNO. Mereka yang tergolong dalam golongan ini biasanya sanggup buat apa sahaja semata-mata asalkan untuk memperjuangan parti UMNo dan mengukukan parti yang didokongnya itu.

Ahli UMNO – ahli UMNO biasanya terdiri daripada mereka yang menggunakan parti UMNO untuk kepentingan peribadi- Jika kepentingan mereka tergugat mereka akan mengutuk UMNO.

Mengenai Kritikan Tun Terhadap Pak Lah

Dia berpendapat bahawa Tun sepatutnya menghormati kepimpinan Pak Lah dan tidak bertindak mengkritik sedemikian rupa. Ketika dia menjadi PM pun ramai juga yang benci dan tidak bersetuju dengan apa yang ada tapi mereka masih menhormati Tun.
Rasuah

Masa zaman Tun juga ada rasuah termasuk Tan Sri Isa Samad, skandal proton dan jambatan bengkok.

Tetapi Pak Lah sekarang sedang dalam usaha memerangi rasuah dari pelbagai sudut, dimana Pak Lah telah mengambil tindakan terhadap Tan Sri Isa samad dan beberapa nama lagi dimana kesemua nya terdiri dari orang-orang TUN dan bila Pak Lah mengambil tindakan terhadap mereka terutamanya Tan Sri Isa Samad, ini mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap TUN.

Contohnya, semasa pemerintahan Tun, beliau terpaksa mengambil masa selama 12 tahun untuk mengawal UMNO kembali setelah mengambil alih pucuk pemimpinan dari Tun Hussien Onn. Keadaan kembali pulih setelah orang-orang lama UMNO keluar UMNO untuk menubuhkan semangat 46.
Ini berbeza dengan Pak Lah yang baru 4 tahun memegang tampuk pemerintahan. Sudah pasti masih banyak perkara yang perlu ditangani dan semuanya itu terpaksa mengambil masa…

DATUK SHAHRIL SAMAD (Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara –PAC)

Ketua UMNO Johor Baharu, Datuk Shahril Samad menyatakan Tun Mahathir berhak menbuat kenyataan apa sahaja yang dia suka. Namun begitu, beliau berpendapat kenyataan Tun yang menghentam Perdana Menteri secara terbuka dan keras terutama ketika berucap di program anjuran Majlis Prihatin Malaysia (Prima) bertempat di Yayasan Kempimpinan Perdana, Putra Jaya baru-baru ini tu sebagai sesuatu yang tidak patut dan tidak harus dilakukan oleh mereka yang pernah bergelar sebagai Perdana Menteri.

Datuk Shahril juga menyifatkan tindakan Tun yang membuat kenyataan secara terbuka sedemikian bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Ini kerana ia sememanya sesuatu yang sudah dijangkakan.

Ketika diminta membandingkan antara pemerintahan dengan Abdullah, Shahril berpendapat terdapat perbezaan yang ketara diantara dua pemimpin itu. Padanya, kepimpinan Pak Lah adalah jauh lebih baik berbanding Mahathir.

Katanya, dasar perjuangan Paklah dilihat lebih terjamin kerana ia lebih berpihak kepada memperjuangkan nasib rakyat. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tidak mengenepikan pembangunan antara Bandar dengan desa adalah menjadi teras perjuangan Pak Lah dan inilah yang diabaikan oleh Tun selama ini.

Selain itu, Pak Lah juga tidak mengabaikan pendidikan dengan memberikan penekanan yang khusus dalam soal pelajaran. Bukan itu sahaja malah, beliau juga turut serius dalam menjana peningkatan ekonomi negara disamping membela Melayu dan rakyat keseluruhan.

“Dalam isu rasuah pula, Pak lah juga dilihat memberikan tumpuan yang khusus dalam menangani isu rasuah dan buktinya, walaupun ini memerlukan tindakan dari semua pihak, namun sebagai pengerusi Jawatankuasa kira-kira Wang negara, Pak Lah telah memberikan ruang kuhus untuk kami bertindak.

“Dan inilah yang tiada semasa pemerintahan Mahathir dahulu…Cuma, ia menjadi satu sedikit kesukaran buat Pak Lah dan barisan kepimpinan yang ada untuk menanganinya dalam masa yang terdekat ini kerana budaya rasuah dalam negara kita sudah lama berakar umbi iaitu sejak pemerintahan Mahathir dahulu lagi.

“Ini berbeza ketika Mahathir, selama 22 tahun mentadbitr negara… Mahathir tidak begitu ambil berat dalam soal ini. Tapi sejak Pak Lah meneraju negara, dia dilihat serius menangani masalah ini. Cuma perlukan sedikit masa lagi kerana dalam tempuh 4 tahun menjadi PM, apalah yang dapat dilakukannya..

Yang pentingnya disini, ada tindakan dan saya tidak fikir zaman Mahathir dahulu dia tidak serius dalam menanganinya,”ujar Shahril lagi.

YB RAMIS A/L SUBRAMANIAM (Adun Kahang –MIC)

Ketika diminta mengulas berkaitan isu yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir Mohamad dalam ucapannya baru-baru ini, Adun Kahang, Ramis Subramaniam, menyifatkan bahawa Bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak seharusnya membuat kenyataan yang disifatkan agak keras dan keterlaluan.

Katanya, semasa Tun Mahathir memangan tampuk pemerintahan dan memiliki kuasa penuh dia berhak bercakap apa sahaja. Tetapi, Tun tidak berhak memberikan sebarang kenyataan sedekian secara terbuka.

“ Kini Pak Lah menjadi Perdana Menteri..Tun sepatutnya memberikan peluang kepada Pak Lah untuk membentuk pemerintahannya sendiri dan membuktikan siapa sebenarnya beliau.

“Bagaimanapun, Mahathir boleh bertindak sebagai penasihat kepada Pak Lah dan bukannya mengkritik secara terbuka di mana-mana akhbar atau media. Dan, itu terpulanglah kepada Pak Lah untuk menerimanya atau tidak,”ujarnya.

Ramis juga mendakwa bahawa mejoriti rakyat berbangsa India di negara ini merasakan lebih selesa berada dibawah pemerintahan Pak Lah, jika dibandingkan ketika pemerintahan Tun dahulu dan mendakwa, kini mereka bebas mengeluarkan pendapat serta menyuarakan setiap keluhan masyarakat India.

Keadaan ini tidak terjadi ketika pemerintahan Tun Mahathir dahulu…

“Di era pemerintahan Pak Lah kini, pembangkan juga dilihat sudah layanan yang hampir sama dengan BN. Ini boleh dilihat, bila mereka juga turut mendapat liputan-liputan dari pihak media dan situasi ini juga tidak berlaku ketika Tun menjadi Perdana Menteri dahulu.

Buktinya, lebih kurang 99% orang india di negara ini akan menyokong kepimpinan sekarang, kerana mereka sudah mula yakin dengan ketelusan Pak lah,”tambah Ramis lagi.

KONTRAK SEBUAH KEMERDEKAAN

Bila Tun Razak mula mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau memulakan era baru kepada perjuangan kemerdekaan. Katanya, kemerdekaan politik dah selesai, sekarang kita masuk fasa kedua, iaitu mencari kemerdekaan ekonomi pula. Tanpa kemerdekaan ekonomi, makna kemerdekaan politik akan menjadi kosong.

Kemerdekaan bukan sekadar kepada pilihan raya untuk memilih kerajaa atau bukan sekadar kepada lagu kebangsaaan dan kibaran bendera kita sendiri. Ia mengenai keupayaan kita menguasai sepenuhnya apa yang kita miliki.

Melayu tidak akan ke mana kalau sepanjang masa kita terpaksa mengucapkan kata-kata menghapuskan kemiskinan dikalangan masyarakat kita. Kata-kata ini nampaknya tiada berkesudahan. Bahkan orang akan dapat melihat kemiskinan itu sudah menjadi tembok tempat orang melayu berlindung untuk mendapatkan pelbagai keistimewaan.

Benar kemiskinan itu penyakit, Namun penyakit itu lebih banyak dihati dan bukannya ditubuh kita. Sekiranya kita percaya kemiskinan itu meletakkan kita lebih hampir ke kufuran, tidak ada orang Melayu yang mengaku dia miskin. Orang melayu yang kuat agama Islam sudah pasti tidak sanggup dilihat hampir menjadi kafir.

Sepatutnya tidak ada orang Melayu yang meminta-minta kerana yang meminta- minta itu adalah tanda penyakit miskin yang tidak patut dibanggakan. Sebagai penganut agama Islam, masyarakat melayu sepatutnya menjadi masyarakat pemberi kerana dengan menjadi seorang pemberi sahaja ia lebih hampir dengan tuhan.

Ramai yang sudah kaya tetapi tidak sanggup menjadi pemberi. Untuk menjadi seorang yang dirinya kaya tidak sesukar untuk menjadikan seseorang yang hatinya kaya. Ketika ini ramai yang menjadi kaya serta merta kerana mendapat kawasan balak ataupun mendapat kontrak kerajaan. Selepas itu mereka meminta lagi. Setiap hari kita lahirkan orang yang kaya tetapi hatinya miskin.

Ajaran kita selalu mengigatkan,tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Amalan memberi sepatutnya menjadi asas utama kepada ibadat kita.

Mengubah cara berfikir yang membudaya dalam masyrakat kita ini bukan sekadar tugas seorang pendakwah yang boleh memberi tafsiran yang betul kepada ajaran Islam. Ia menuntut kepada perubahan watak keseluruhan orang melayu itu sendiri.

Perubahan watak tak akan berlaku dengan hanya memberi mereka kekayaan. Ramai yang sudah kaya tetapi masih meminta-minta. Ramai yang sudah kaya tetapi diperolehi melalui tipu muslihat untuk menambahkan kekayaan.

Mengubah budaya dan cara berfikir masyarakat kita menjadi asas kemajuan negara kepada pembinaan golongan kelas menengah yang besar. Mereka tidak semestinya seorang jutawan, tetapi golongan yang berpendidikan, professional dan memiliki watak baru yang mampu bersaing, bersemangat untuk memberi dan boleh diketengahkan dalam apa jua suasana.

Pengambil semula hasil minyak melalui penubuhan PETRONAS, atau ladang-ladang,lombong-lombong kita yang dikuasai oleh syarikat asing dipertengahan 70an, bukan sekadar manifestasi kepada semangat memerdekakan sektor ekonomi kita, tetapi lebih pada itu.

Untuk mengendalikan semua sektor ini menuntut kita menyediakan pelbagai kepakaran dalam semua bidang. Kita mesti ada pelbagai jenis jentera, akauntan, doktor, pelbagai pegawai pemasaran dan pengurus dan mereka inilah yang memenuhi komposisi golongan kelas menengah yang diharap dapat mengubah budaya orang Melayu keseluruhannya.

Madus operandinya mudah. Kuncinya ialah pada pendidikan. Sejauh mana kita dapat mendidik dan melatih seberapa ramai anak-anak kita. Sejak itu kita mendengar pelbagai jenis biasiswa. Biasiswa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Biasiswa Petronas, biasiswa Bank Bumiputra, biasiswa Bank Negara dan pelbagai lagi yang kita dengar.

Siapa yang mahu belajar, belajarlah setinggi mana dan pergilah kemana sahaja yang mahu. Memberi pelajaran kepada orang Melayu adalah tuntutan perjanjian Kemerdekaan yang menjadi asas perlembangaan kita hari ini.

Universiti dalam negara tak cukup tetapi pastikan kualitinya terbaik. Golongan akedemik lebih banyak diberikan kebebasan dalam menentukan arah tujunya sendiri. Guru, pensyarah dan lebih-lebih lagi professor berada dalam kelasnya tersendiri yang sentiasa disanjung tinggi.
Kecemerlangan akedemik dilihat saling seiring dengan kebebasan akedemik itu sendiri.

Pengaruh politik dalam akademik mestilah ada hadnya. Ia sekadar untuk menjamin kestabilan dan tidak menyalahgunakan institusi murni. Benar ada kawalan untuk mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman sempit atau lain-lain unsur yang boleh menghancurkan negara. Namun peraturan yang ada tidak boleh dilihat untuk mempertahankan kuasa atau melindungi mereka yang menyalah gunakan kuasa .

Bahkan lebih buruk lagi sekiranya ia berlaku dalam institusi pengajian yang bergelar universiti. Menara yang dibuat dari gading mencerminkan kemurnian tinggi dalam sesuatu negara. Ia lambang segala jenis idealisme yang perlu diterapkan dalam masyarakat dan budaya kita.

Pengaruh politik yang keterlaluan dalam pusat-pusat pengajian kita akhirnya boleh menyebabkan nasib yang menimpa pasukan bola sepak kita akan menimpa institusi pengajian kita. Kita mungkin juara kampong kerana melahirkan ramai anak-anak yang mendapat banyak A, tetapi terus kecil apabila bersaing dengan orang lain.

Matlamat Tun Razak untuk melahirkan kelas menegah yang berpewatakan besar mungkin tidak akan tercapai sekiranya graduan yang kita lahirkan masih bergantung kepada wakil-wakil rakyatnya untuk mendapatkan pekerjaan. Bagi anak-anak ini pula, ia tidaklah sesuatu yang menghairankan, sekiranya mereka turut melihat banyak jawatan penting dikalangan professional merekapun, diperolehi melalui sokongan politik bukannya atas kecemerlangan akademik.

Dasar Ekonomi Baru adalah sebahagian daripada pakej ini. Ia bukan dilihat dari kacamata agenda Melayu yang sempit. Ia adalah agenda nasional yang lebih besar. Kesan dan hasilnya bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun dasar ini dilihat gagal mencapai matlamat sepenuhnya, tetapi ia telah memberikan wajah baru kepada negara ini. Iaitu kenyakinan rakyat bahawa, walaupun kita berbilang kaum, tetapi kecemburuan kaum tidak langi diasaskan kepada pengtakrifan ekonomi. Kita lebih bernasib baik. Dasar inilah yang melindungi kita dari terjebak ke dalam perbalahan kaum sewaktu krisis kewangan tahun 1997 dahulu.

Perbalahan ini berlaku di Indonesia, tetapi tak berlaku disini. Tanpa Dasar Ekonomi Baru (DEB), mungkin apa yang berlaku ditahun 1969 berulang lagi di negara kita.

Keyakinan inilah yang membolehkan kita menjaja keluar negara tentang model Malaysia sebagai sebuah negara yang dipandang harmoni. Lebih-lebih lagi hari ini, punca konflik dunia tidak lagi pada perbezaan idealogi, tetapi mengenai pertelagahan etnik, budaya dan tamadun. Bahkan apa yang berlaku di bumi Palastin dan Iraq hari ini menunjukkan mereka yang memiliki perasaan etnik, agama, bahasa, budaya dan tamadun pun turut berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain.

Sekarang, orang memandang tinggi negara yang bernama Malaysia. Ciri-ciri masyarakat pemberi semakin timbul pada hari ini. Disamping kerajaan, kita lihat banyak kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang bergerak di dalam dan di luar negara memberi sumbangan dalam pelbagai kerja kebajikan di tempat-tempat yang memerlukan.

Ramai yang melihat dan menganggap kita sebagai rakyat yang bernasib baik. Tetapi hakikatnya untuk mendapat apa yang capai sekarang menuntut kepada suatu perjuangan yang pahit kerana ia telah melalui jalan yang amat sukar.

Apa yang dinikmati sekarang ini, sepatutnya dihargai bersama. Bukan hanya orang Melayu tetapi semua kaum. Hari ini kita dipandang harmoni, tetapi ia boleh musnah begitu sahaja kalau kita tidak mempertingkatkan keharmonian ini didalam erti kata yang sebenar.

Melayu yang dilihat mendapat sedikit kemudahan perlu sedar, perlindungan yang ada pada mereka hanyalah sekadar jaring keselamatan agar tidak jatuh tersembam dalam perjalanan kehidupan ini. Untuk maju, mereka tidak boleh bergantung kepada jaring itu selama-lamanya. Mereka mesti kehadapan mengatur langkah sendiri untuk naik setinggi-tingginya menyahut cabaran global.

Hambatan global melalui AFTA, WTO dan pelbagai perjanjian perdangan bebas semakin menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu semakin kurang kebergantungannya.

Bukan Melayu pula tidak boleh melihat sedikit perlindungan yang diperolehi orang Melayu ketika ini sebagai alasan untuk memandang rendah bangsa pribumi ini. Sebaliknya mereka mesti turut membantu agar Ekonomi orang Melayu cepat mencapai kedudukan yang setaraf dengan mereka.

Sosial kontrak yang dipersetujui bersama oleh mereka yang mengasaskan negara ini, mesti dihormati. Ia berkaitan dengan pengorbanan kaum untuk menerima kaum lain menjadi sebahagian dari anggota mereka yang besar. Tanpa menghormatinya, tidak mungkin keamanan yang dinikmati bersama ini dapat dikekalkan selama-lamanya.

Tuntutan orang Melayu selama ini tidak pernah keterlaluan. Orang Melayu itu sendiri adalah kaum yang sangat akomodatif sifatnya. Melayu tidak keluar dari negara mereka secara beramai-ramai. Kalau ada yang berhijrah mereka tidak tuntut negara yang mereka duduki dengan pelbagai tuntutan agar orang di negara itu mengikut selera orang Melayu. Sebaliknya mereka akan menyesuaikan diri dengan suasana setempat.

Di Malaysia pun apa yang orang Melayu cuba mempertahankan amatlah sederhana sekali. Agama, bahasanya, hormat orang pada raja-rajanya dan simbul-simbul yang dikaitkan dengan maruah orang Melayu itu. Banyak perkara itu bersifat sejarah dan kecintaan kita dalam mengekalkan tradisi yang diamalkan oleh rakyat negara ini sejak turun-temurun.

Dalam konteks Malaysia, sejarah kemerdekaan kita adalah sejarah orang Melayu bangkit mempertahankan hak dan maruah bangsa mereka. Inilah sejarah nasionalisme Melayu. Tanpa semangat Nasionalisme Melayu ini, mungkin kemerdekaan yang dinikmati hari ini tidak akan tercapai.Nikmat ini bukan untuk orang Melayu sahaja, tetapi juga untuk orang bukan Melayu.

Atas faktor inilah orang Melayu sentiasa berasa ia lebih berhak dalam menentukan apakah itu pengiktirafan negara bangsa Malaysia yang berasaskan bangsa Melayu. Ini termasuk kepada budaya, bahasanya dan adat resamnya. Ini juga termasuk hak mereka untuk dilihat tidak ketinggalan dalam semua lapangan ekonomi dan sosial. Seharusnya soal ini tidak patut di pertikaikan…