Bagi saya, perasaan desperate atau tertekan, melalui konsep hostile environment ini bukan hanya perlu di dalam parti UMNO sahaja tetapi mesti diterima-pakai di dalam setiap jiwa bangsa Melayu, tidak kira perbezaan sosio-ekonomi ataupun ideologi politik, malah ianya perlu di tanam sejak dari kecil lagi
Anjakan Paradigma.( Paradigm shift) ini sangat perlu bagi bangsa Melayu zaman ini lebih-lebih lagi untuk mengharungi arus perubahan orde baru dunia sekarang, yang begitu samar-samar kefahaman kita tentangnya tetapi nyata kehadiran dan kesan-kesan buruk yang bakal mencabar ketuanan bangsa Melayu di bumi sendiri.
Anjakan Paradigma atau Paradigm Shift sebagai suatu perubahan radikal melibatkan reconceptualization cara pemikiran individu-individu yang bernaung di bawah sesuatu organisasi.
Organisasi yang memperjuangkan Anjakan Paradigma dan re-engineering strategi-strategi, telah meraih pencapaian yang luar biasa dan kenaikan order-of-magnitude ke atas pulangan pelaburan dan produktiviti.
Anjakan Paradigma (Paradigm Shift) ini merupakan perubahan yang komprehensif yang membawa pulangan amat besar sekiranya berjaya dan dilaksanakan secara berterusan.
Bagaimanapun pendukungan konsep Anjakan Paradigma, di dalam konteks perbincangan kita tentang perubahan mentaliti bangsa Melayu yang berlandaskan Hostile Environment ini, sukar dicapai kerana memerlukan 100 % komitmen seluruh bangsa Melayu.
Ianya melibatkan perubahan minda bangsa Melayu yang ekstensif dan berterusan, di mana ianya sangat kompleks untuk diorkestera, diawasi dan diuruskan agar sejajar dengan matlamat asas bangsa Melayu.
Kemajuan Anjakan Paradigma bangsa Melayu ini bukan sahaja memerlukan suatu sistem pengurusan yang telus, efesien dan efektif tetapi memerlukan suatu perisai kukuh dan kebal untuk menepis ancaman negatif dalaman dan luaran yang boleh menjejaskan pemfokusan bangsa Melayu dari tersasar daripada landasan matlamat perjuangan bangsa Melayu itu.
Sejarah telah membuktikan bahawa parti UMNO dan bangsa Melayu keseluruhannya mempunyai konsep perjuangan hanya bila terdesak dan ditekan.
Perjuangan bangsa Melayu hanya bersemangat, signifikan dan bersungguh-sungguh apabila telah berlaku peristiwa-peristiwa hitam di mana ketuanan dan kerelevanan kekuatan politik bangsa Melayu dicabar oleh ancaman-ancaman luaran atau dalaman.
Ianya seperti peribahasa ‘sudah terhantuk baru tergadah’. Malah api dan kepanasan semangat perjuangan bangsa Melayu tidak kekal berterusan dibakar dengan marak.
Apabila pihak penjajah menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946, bangsa Melayu ketika itu baru tersedar dan tersentak kuat menyedari bahawa hak-hak ketuanan mereka telah dipermain dan dilucutkan dari menjadi pakaian harian yang menyelubungi jiwa dan raga mereka selama ini.
Ketika itu pemimpin-pemimpin dan bangsa Melayu mempunyai pelbagai pilihan, contohnya, pemimpin-pemimpin bangsa Melayu ketika itu mungkin boleh memilih untuk hidup senang jika menutup mata dari melihat rintihan bangsanya dan menjadi tali barut penjajah durjana itu.
Pemimpin-pemimpin Melayu ketika tidak tamak kuasa dan harta. Berlandaskan perjuangan terdesak ini, jiwa mereka hanya bermatlamatkan kepada satu, iaitu untuk menyatukan suara dan kekuatan, disamping mempertahankan hak-hak bangsa Melayu.
Walaupun berlakunya perpecahan melalui semangat kenegerian yang tebal, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai pertubuhan ketika itu sanggup melupakan kepentingan sesebuah kelompok, melepaskan jawatan masing-masing dan bersatu padu berprinsipkan kepentingan sejagat untuk menyegerakan perlaksanaan merealisasikan kesatuan suara politik mereka.
Melalui konsep pemerintahan rakyat untuk rakyat ini, keinsafan penyatuan dan kekuatan politik UMNO dan bangsa Melayu inilah yang menyebabkan penjajah durjana itu kalah di dalam permainan mereka sendiri.
Bangsa Melayu ketika itu adalah merupakan salah sebuah bangsa yang terelit dan eksklusif di dalam dunia ini, yang berjaya menepis pengaruh penjajah dan memerdekakan negara sendiri melalui kepintaran, kebijaksanaan dan kesatuan suara yang padu, bersama-sama keharmonian dan sifat faham-memahami kaum-kaum majmuk lain di Malaysia.
Apabila Malaya merdeka, sekali lagi tempo perjuangan UMNO dan bangsa Melayu malap. Kali ini adalah kerana pihak perikatan yang diterajui oleh UMNO sedang mencari-cari satu sistem terbaik di dalam pengurusan negara yang berbilang kaum itu.
Hanya selepas ledakan peristiwa hitam tahun 1969, UMNO dan bangsa Melayu kembali berjuang dengan lebih signifikan. Perjuangan terdesak kali ini ialah untuk memastikan bangsa Melayu tidak merempat di bumi sendiri.
UMNO berjaya hasil kekuatan politiknya, disamping permuafakatan rakan-rakan parti politik lain.
Bagaimanapun, seperti senario sejarah politik Melayu yang lepas, tempo dan rentak kesatuan dan perjuangan bangsa Melayu kembali reda. Kali ini ianya malap disebabkan beberapa faktor. Tetapi yang jelas ialah kerana Dasar Ekonomi Baru.
DEB telah berjaya menyediakan satu platfom kukuh membolehkan perlaksanaan Anjakan Paradigma melalui perubahan konsepsualisasi budaya mentaliti lama bangsa Melayu kepada masyarakat yang bersaing maju dan moden.
Tetapi di masa perlaksanaan DEB itu, budaya-budaya negatif turut menular di dalam nilai-nilai diri sebahagian pemimpin Melayu dan bangsa Melayu.
Ini terbukti apabila berlaku penularan budaya negatif seperti tamak kuasa dan harta, egocentrisme, fanaticisme dan idolisasi yang semakin tebal dan dianggap neraca terpenting di dalam menentukan arus politik bangsa Melayu sekarang ini.
Akibatnya, politik bangsa Melayu telah kehilangan kompas perjuangan yang dahulunya bersifat kolektif dan mementingkan Melayu sejagat.
Begitu juga dengan hampir hilangnya nilai-nilai mulia jati diri atau budaya kampung di dalam politik orang Melayu seperti ikhlas, bertolak ansur, tolong-menolong, bermuzakarah, rendah diri, keakraban semulajadi pemimpin dengan rakyat dan sesama rakyat maka itulah berlakunya pemfokusan semangat perjuangan politik Melayu sekarang yang bersifat kepentingan sesebuah kelompok, fanatik, sempit dan mengidolisasikan individu.
Rentetan sejarah hitam politik Melayu telah membuktikan segalanya. Tahun 1977 berlaku penarikan PAS di dalam kerajaan yang memerintah. Ianya berbau budaya egocentrisme dan fanaticisme.
Tahun 1988 yang menyaksikan pembubaran parti UMNO sekali lagi telah menyentak pemimpin-pemimpin UMNO dan bangsa Melayu. Penekanan perjuangan kali ini amat terdesak dan sangat perlu disegerakan memandangkan sebahagian besar bangsa Melayu sudah kehilangan wakil dan suara politik di dalam kerajaan yang memerintah ketika itu. Peristiwa hitam 1988 ini adalah disebabkan oleh budaya egocentrisme dan tamak kuasa.
Manakala tahun 1999, bertambah perit senario politik bangsa Melayu apabila timbul pula parti yang mempunyai budaya politik idolisasi yang berjaya mencurah lebih banyak garam ke atas luka politik bangsa Melayu yang telah pun parah.
Parti pembangkang Melayu lain yang bersifat fanaticisme dan egocentrisme pula semakin jauh dan bersemangat untuk meleraikan ikatan persaudaraan semulajadi sesama Melayu.
Tetapi, rentetan peristiwa hitam yang telah melanda politik bangsa Melayu itu, tidak terasa begitu berbisa dan bahaya untuk menyemarakkan kembali api perjuangan bangsa Melayu keseluruhannya.
Ini tidak terasa desperate atau mengalami desakan sekuat perjuangan UMNO dan bangsa Melayu tahun 1946 di mana mentaliti perjuangan mereka di tahun 1946 adalah hanya satu, iaitu menyatukan pelbagai suara kenegerian dan kekuatan politik ketika itu, kepada hanya satu saluran terkuat agar penjajah membuka mata dan menerima pandangan mereka.
Jika dibandingkan dengan senario politik sekarang, perasaan terdesak atau desperate itu tidak terasa. Ini adalah kerana, di dalam keadaan sekarangpun, bila tiada perjuangan terdesak dan di mana begitu jelas berlaku perpecahan bangsa Melayu dan politiknya, bangsa Melayu masih boleh bekerja, dan menunaikan kewajipan sebagai orang Islam, walaupun sebenarnya akan berlaku suatu bentuk penjajahan baru di dunia ini.
Semua bangsa Melayu, tidak kira menyokong UMNO atau menyokong pembangkang, tahu bahawa mereka masih mempunyai parti UMNO untuk mempertahankan hak-hak istimewa bangsa Melayu di dalam kerajaan hari ini.
Oleh sebab itulah, rancangan-rancangan mulia untuk menyatukan kembali suara dan kekuatan politik bangsa Melayu sekarang seperti muzakarah di antara parti-parti bangsa Melayu, masih tinggal niat sahaja, tanpa tindakan susulan yang bersungguh-sungguh. Ianya kerana tidak ada terlihat peristiwa atau kuasa pendesak dan berbisa yang boleh memaksa penyegeraan kompromi dan tolak ansur sesama Melayu.
Hanya 42 tahun (1946 hingga 1988) di perlukan untuk berlakunya perpecahan bersejarah di dalam UMNO dan bangsa Melayu, manakala hanya 11 tahun (1988 hingga 1999) di perlukan untuk berlakunya perpecahan signifikan suara dan kekuatan politik bangsa Melayu. Apakah ada masanya nanti, akan berlaku perpecahan total politik bangsa Melayu yang menjerumuskan kita kepada kekuatan politik yang tidak lagi signifikan di dalam kerajaan untuk mempertahankan hak-hak istimewa, ketuanan dan survival bangsa Melayu?
Apakah bangsa Melayu perlu ‘sudah terhantuk baru tengadah’, barulah berusaha mendesakkan diri untuk menyemarak dan menyegerakan perjuangan asal dulu yang bersifat kolektif dan sejagat? Apakah perlu wujud lagi peristiwa hitam atau satu jenis penjajahan baru yang boleh mengugat ketuanan bangsa Melayu, barulah bangsa Melayu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertolak-ansur dan bekerjasama sesama sendiri?
Yang pastinya, penjajahan baru di dalam bentuk penjajahan ekonomi ini akan pasti diwartakan. Sebenarnya, penglobalisasian ini adalah satu sistem unik yang merupakan arena survival of the fittest.
Hanya bangsa yang terkuat dan cukup bersedia sahaja akan berjaya menyambung kerelevanan bangsa mereka di masa hadapan. Bangsa Melayu mungkin goyah dan tidak bersedia kerana ekonominya tidak kukuh, manakala politiknya masih lagi porak peranda.
Jika benar berlakunya penglobalisasian di masa yang terdekat ini, bangsa Melayu mungkin akan terjerumus kembali seperti zaman penubuhan Malayan Union 1946 dulu. Tetapi kali ini, usaha penyatuan dan perjuangan bangsa Melayu mungkin sia-sia.
Ini adalah kerana penjajah-penjajah baru ini telah mengambil iktibar dari sejarah silam dan akan memastikan ‘pisang tidak berbuah 2 kali’. Tatkala itu, rintihan bangsa Melayu tidak akan didengar oleh bangsa-bangsa lain yang mana mereka sendiri sibuk mempertahankan diri sendiri.
Berdasarkan fakta-fakta sejarah politik bangsa Melayu dan pelbagai senario perkembangan dunia yang bakal ditempuhi nanti, sebenarnya landasan perjuangan setiap orang Melayu sekarang ini hanyalah SATU, iaitu perjuangan untuk kembali bersatu hati dan suara.
Perbezaan ideologi politik perlu diketepikan demi melengkapkan kriteria berhasilnya Anjakan Paradigma bangsa Melayu yang diimpikan. Perjuangan menegakkan agama Islam pula bukan hak eksklusif mana-mana parti Melayu.
Malah perjuangan Islam adalah kewajipan dan jihad setiap orang Islam di setiap detik kehidupan mereka Orang Melayu tahu bahawa kesenangan, kemewahan dan ketahanan bangsa adalah terletak kepada politiknya.
Kemajuan-kemajuan bangsa seperti ilmu, harta benda, k-ekonomi dan sebagainya merupakan hasil-hasil daripada kekuatan tersebut dan tertakluk kepada berjayanya perlaksanaan kekuatan suara politik itu.
Hanya melalui kekuatan dan kesatuan Melayu sahaja, pemfokusan bangsa Melayu sekarang dapat diperbetulkan dan disalurkan sepenuhnya kepada menyegerakan usaha-usaha membentuk bangsa Melayu berdaya saing, kuat samada ekonomi, persaudaraan dan politiknya.
Kita mesti sedar bahawa bangsa-bangsa lain di dunia sedang sibuk memperlengkap dan memperkuatkan bangsa mereka agar dapat mempertahankan kerelevanan kewujudan bangsa mereka di dunia tanpa sempadan nanti.
Kita juga boleh mengambil iktibar suasana politik kaum-kaum majmuk di Malaysia ini. Bangsa Cina mempunyai parti terbesar iaitu MCA dan Gerakan di dalam kerajaan. Walau bagaimana bergolak pun suasana parti dan berlakunya penarikan pemimpin-pemimpin dari satu parti, pergerakan ahli-ahlinya masih di dalam parti yang berada di dalam kerajaan.
Bangsa India pula di wakili oleh MIC yang mempunyai pemimpin-pemimpin yang begitu signifikan di dalam kaumnya. PPIP turut menguatkan lagi politik bangsa India di dalam kerajaan.
Bangsa Melayu pula mempunyai 3 kumpulan parti yang signifikan iaitu UMNO, PAS dan Keadilan. Masaalahnya ialah mereka tidak duduk sebumbung. Ini menyebabkan berlakunya perpecahan suara dan kuasa politik bangsa Melayu yang signifikan.
Sebab itulah bangsa Melayu perlu menyegerakan penyatuan agar tidak akan berlaku lagi igauan peristiwa-peristiwa hitam di dalam perjalanan bangsa Melayu Penglobalisasian di dalam menyediakan dunia tanpa sempadan, biarlah bermula dengan penglobalisasian di dalam bangsa Melayu itu sendiri, dalam ertikata menyediakan bangsa Melayu yang satu, yang tidak dipisahkan lagi oleh perbezaan ideologi politik dan yang berjaya mengikis segala budaya-budaya negatif
Kesimpulannya, di dalam rakyat melaung-laungkan semangat hormat-menghormati, bersatu padu dan harmoni sesama kaum majmuk di Malaysia ini, seluruh bangsa Melayu perlulah dulu menanam dan mempraktikkan semangat mulia ini sesama sendiri.
Barulah terasa kekuatan dan kerelevanan kewujudan bangsa Melayu itu. Anjakan Paradigma perjuangan bangsa Melayu perlu berubah. Perjuangan bangsa Melayu sekarang perlu proaktif dan tidak lagi bertindak dengan signifikan hanya selepas berlaku sesuatu peristiwa hitam.
No comments:
Post a Comment