Tuesday, January 27, 2009

Azalina diyakini mampu galas tugas Naib Ketua Wanita


Memang tidak salah lagi dakwaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Azalina Othman Said yang ada usaha-usaha untuk menyekat beliau daripada bersama Wanita sebelum ini.

Meskipun ramai yang menafi dan tidak kurang juga yang mempersendakan dakwaan bekas ketua Puteri itu, namun masa yang berlalu dilihat semakin memihak kepada Ketua Umno Pengerang itu dan sekaligus bakal membuktikan kebenaran dakwaan tersebut.

Dan, dari perkembangan terbaru menyatakan bahawa Ahli Majlis Tertinggi (MT) yang juga Ketua Bahagian Pengerang itu kini mampu memperolehi pencalonan yang cukup untuk melayakkan beliau bertanding jawatan nombor dua pergerakan Wanita Umno, Mac depan.

Azalina dikatakan mendapat pencalonan yang mencukupi daripada lima bahagian wanita yang diarah untuk mengadakan mesyuarat semula. Azalina yang juga bekas ketua Puteri Umno, setakat ini berada di belakang exco Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim dan naib ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat, yang turut mendapat cukup pencalonan untuk mencabar ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, tidak berminat untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita yang disandangnya sekarang.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan Datuk Kamilia yang mendapat lebih pencalonan dan sejak awal-awal lagi sudah melayakkan diri untuk bertanding ke jawatan tersebut, namun banyak pihak meramalkan jawatan Naib Ketua Wanita yang akan dipertandingkan pada bulan Mac ini bakal dipikul oleh Azalina.

Keyakinan banyak pihak itu bersandarkan kemampuan Azalina sebelum ini. Selain dilihat sebagai pemimpin pelapis yang kreatif dan bermotivasi, kemampuan beliau menggarap tugas yang diberikan sebagai Ketua Puteri Umno sedikit masa lalu sememangnya membanggakan banyak pihak.

Keupayaan beliau memimpin Kementerian Belia dan Sukan dari tahun 2004 hingga 2007 hingga meletakan kementerian tersebut ke satu tahap yang terbaik adalah bukti kukuh keupayaan sebenar Azalina sebagai pemimpin dan ini tidak dapat dinafikan sesiapa.

Kecemerlangan industri pelancongan negara sejak kebelangan ini juga adalah atas usaha Azalina, atas kemampuan beliau sebagai pemimpin dan juga menterinya. Dalam keadaan krisis ekonomi dunia seperti sekarang,Azalina tetap masih mampu menggamit peningkatan kedatangan pelancong ke negara ini...

Hampir semua produk pelancongan yang diperkenalkan oleh beliau telah mencipta kenyaaan dan semuanya itu sudah semestinya bertitik tolak dari sentuhan kreatifnya yang berpaksikan keikhlasan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Kemampuan beliau memimpin UMNO Bahagian Pengerang juga menjadi bukti bahawa calon Naib Ketua Wanita ini sememangnya seorang pemimpin amat berpotensi dan paling layak untuk memikul tugas sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

No comments: