Thursday, April 24, 2008

Hishammuddin Anggap Kenyataan Anwar Permainan Politik

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan ramalan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakatan pembangkang akan dapat menubuhkan kerajaan persekutuan sebelum 16 Sept ini sebagai permainan politik semata-mata.

"Tiga minggu lepas dia kata akan ada perubahan kepimpinan (negara) dalam masa dua minggu. Dua minggu dah pun berlalu (dan) sekarang dia kata ia akan berlaku bulan September.

"Bagi saya dia boleh buat macam-macam ramalan dan kalau ramalannya tidak menjadi kenyataan ia akan menjejaskan kredibiliti tuan punya badan sendiri," kata Menteri Pelajaran itu kepada pemberita di sini, Khamis.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata orang ramai sudah mula melihat sendiri permainan politik bekas timbalan perdana menteri itu apabila satu demi satu kenyataan dan tuduhan beliau sebelum ini tidak menjadi kenyataan, termasuklah kenyataan bahawa pilihan raya di negara ini tidak bebas.

Katanya perhatian utama kerajaan Barisan Nasional (BN) kini tertumpu kepada menunaikan tanggungjawab sepertimana yang diamanahkan rakyat, bukannya melayani ramalan seperti itu.

Mengulas pandangan anggota Exco Pemuda Datuk Idris Haron pada Rabu bahawa jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang akan datang sebaiknya diisi oleh mereka yang telah dibentuk dan dibimbing untuk mengisi jawatan itu dan bukannya melalui pertandingan, Hishammuddin berkata perkara itu terpulang sepenuhnya kepada perwakilan pergerakan itu.

Beliau berkata pertandingan untuk merebut jawatan itu merupakan amalan yang sihat, dengan syarat mereka yang menawarkan diri untuk bertanding mestilah memahami arah perjuangan pergerakan itu sendiri, bukannya kerana jawatan semata-mata.

Mengenai cadangan supaya ditubuhkan satu suruhanjaya bagi menyiasat kemerosotan sokongan terhadap Umno, Hishammuddin berkata perkara itu seharusnya dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) untuk diputuskan.

Anggota MT Umno yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Rabu turut menggesa Umno supaya berubah dalam cara ia beroperasi dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat sebab-sebab merosotnya sokongan terhadap parti itu, yang menjadi teras BN.

Hishammuddin sebelum itu menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,800 daripada warga Institut Pendidikan Guru kepada ibu bapa Sharlinie Mohd Nashar, kanak-kanak berusia 5 tahun yang dilaporkan hilang pada 9 Jan lalu. Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Datin Asariah Mior Shaharuddin.

No comments: