Monday, November 3, 2008

Mengapa Perangkap Ketuanan Melayu Dalam Minda 30 Peratus

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, minda dan benak fikir ini begitu melonjak untuk menulis tentang sesuatu yang lebih bermakna. Sesuatu yang lebih bererti iaitu berkaitan dengan bangsa melayu, bangsa yang dianggap oleh sesetenggah pihak di negara ini sebagai bangsa yang makin rakus.


Bagaimanapun, dalam ledakan jiwa ini aku tidak terniat langsung untuk menyetuh soal konsep Ketuanan Melayu dan kontrak sosial. Mungkin disebabkan minda ini disogokkan dengan perasaan jemu ekoran terlalu banyak pihak yang memberikan pandangan mereka sebelum ini.


Jadi, serasanya eloklah tidak menjadi `burung tiong’ yang mengulangi setiap patah ungkapan tuannya terutamanya dalam perbahasan tersebut.Tetapi, membaca tulisan dalam media massa, blog dan mendengar penjelasan sesetengah pemimpin Melayu, menampakkan semacam ada satu nada defensif dalam persoalan ini.


Biarlah saya menulis dari sudut yang lain iaitu kesan konsep Ketuanan Melayu ke atas minda Melayu. Apabila disebut "tuan", ia bermaksud seseorang itu memiliki sesuatu. Dalam filem P. Ramlee, banyak kali disebut "tuan besar" bermaksud orang kaya atau majikan dalam sesuatu entiti perniagaan.

Apabila menjadi "tuan", kita beranggapan seseorang hanya boleh memberi, tidak meminta. Tuan tidak boleh meminta wang atau barangan kepada pekerja, apatah lagi hambanya. Kalau mahu meminta pun, mungkin kesetiaan atau kerja keras. Itu sahaja. Tentulah anih untuk seorang tuan meminta barangan dari orang yang bukan tuan.

Ada orang yang melihat konsep Ketuanan Melayu dari perspektif ini. Melayu sebagai tuan memiliki segala-galanya dan dia tidak boleh meminta apa-apa daripada bangsa lain yang bukan tuan. Sebab itulah orang Melayu diminta membuka kemasukan ke UITM, melonggarkan sasaran ekuiti 30%, mencairkan prinsip-prinsip DEB dan pelbagai lagi.

Pada masa yang sama, orang Melayu sebagai tuan tidak meminta apa-apa. Ya, tuan tidak boleh meminta, kan?

Konsep Ketuanan Melayu dalam perspektif ini menyebabkan UMNO menjadi kelompok defensif sehingga membuatkan sesetengah pemimpin UMNO itu sendiri terperangkap dengan "minda 30 peratus".

Pemimpin UMNO akan berpuas hati sekiranya tidak ada orang yang mempersoalkan "30 peratus". Perangkap minda ini cukup merbahayakan orang Melayu kerana kita menganggap itulah pencapaian maksimum yang mampu diperolehi oleh orang Melayu. Secara tidak sedar, kita menganggap orang Melayu tidak mungkin dapat mencapai 50 peratus atau 70 peratus.

Sebab itulah apabila Kerajaan Negeri Kedah mengatakan bahawa kuota rumah untuk Bumiputera di negeri itu harus menjadi 50 peratus, maka Real Estate and Housing Developers' Association Malaysia (REDHA)dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Ong Ka Chuan memprotes.

Minda 30 peratus berkata, orang Melayu hanya setakat 30 peratus saja. Maka pemimpin UMNO yang terperangkap dengan minda 30 peratus tidak membuat kenyataan menyokong Menteri Besar Kedah dari PAS.

Orang Kedah tahu rumah di Sungai Petani bukanlah dibeli oleh penduduk tempatan; sebaliknya ia dibeli oleh mereka di luar Kedah. Melayu dari Jenun, Cina Gurun dan India Bedong tidak mampu membeli rumah yang berharga tinggi di sekitar Sungai Petani; sebab itulah kerajaan negeri membuat keputusan begitu -- sekaligus cuba memecahkan minda 30 peratus yang ada dalam fikiran sesetengah pemimpin UMNO.

Berbalik kepada soal Ketuanan Melayu, sesetengah pemimpin UMNO terperangkap dengan konsep yang saya sebutkan tadi; lalu mereka membentuk "minda memberi, bukan meminta". Sebab itulah kita tidak pernah mendengar pemimpin UMNO meminta sesuatu dari orang lain. Kita tidak pernah mendengar UMNO meminta sesuatu yang besar dari MCA atau Gerakan.

Kalau ada pun sedikit anjakan paradigma, Dato' Seri Shahidan Kassim meminta syarikat bukan Bumiputera ambil 30 peratus pekerja Bumiputera. Ya, Shahidan cuba meminta, tetapi dia masih terperangkap dengan "minda 30 peratus". Mungkin Shahidan lupa, syarikat multinasional di Pulau Pinang dan Selangor mempunyai hampir 100 peratus "pekerja kilang" atau "operator pengeluaran" dari kalangan orang Melayu. Apakah ini kebanggaan bagi Shahidan?

Sekiranya orang Melayu ingin maju, saya fikir ada dua perkara yang harus dilakukan.

Pertama, konsep Ketuanan Melayu harus dilihat dari perspektif yang betul; buang "minda memberi, bukan meminta." Gantikan dengan Melayu juga mesti meminta. Dan, mintalah perkara yang betul.

Kedua, bakulsampahkan "minda 30 peratus". Apa guna sasaran 30 peratus, sedangkan ekuiti sebenar hanyalah sekitar 19 peratus (itupun kalau angka tersebut masih betul, dan tidak merosot). Usah berpuas hati dengan gula-gula 30 peratus. Ubah minda untuk berfikir bahawa orang Melayu boleh mencapai 50 peratus atau 70 peratus.

Beranikah orang Melayu berbuat begitu? Atau, adakah Melayu masih terus ingin menjadi bangsa yang dibelenggu retorik?

No comments: